arena

Hukuman menanti Ancelotti

Oleh Reuters

PENGURUS Everton, Carlo Ancelotti didakwa melakukan kesalahan oleh Persatuan Bolasepak England (FA) di atas tindakannya yang mengundang layangan kad merah selepas seri 1-1 dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) menentang Manchester United Sabtu lalu.

Ancelotti tidak berpuas hati dengan keputusan Video Bantuan Pengadil (VAR) yang menghalang Everton daripada memperoleh gol kemenangan saat akhir dan beliau diperintah keluar padang oleh pengadil, Chris Kavanagh apabila membantah keputusan sebaik wisel penamat ditiupkan.

Selepas bertenang, pengendali berusia 60 tahun itu memberitahu wartawan ia adalah keputusan yang sukar buat pengadil, sebelum berseloroh bahawa itu bukan kali pertama beliau diperintah keluar padang dan juga bukan kali terakhir.

“Carlo Ancelotti didakwa melakukan salah laku dengan melanggar peraturan FA Rule E3.

“Pengurus Everton didakwa mengeluarkan perkataan dan/atau kelakuan ketika pada penghujung saingan EPL berdepan Manchester United yang didapati tidak sesuai,” jelas kenyataan FA.

Ancelotti, yang mempunyai tempoh sehingga Khamis ini untuk memberi maklum balas, bakal berdepan denda dan tidak dibenarkan duduk di bangku simpanan menjelang aksi menentang bekas kelabnya, Chelsea jika beliau didapati bersalah.

Everton sekarang ini berada di tangga ke-11 liga dengan mengumpul 37 mata daripada 28 perlawanan, sementara Chelsea mengatasi mereka dengan lapan mata untuk menduduki tempat keempat.

Disiarkan pada: March 3, 2020 @ 1:16pm
d