arena

Teruskan momentum kemenangan

Oleh Nazri Abu Bakar

PENOLONG jurulatih Melaka, Md Noor Derus mahu barisan pemainnya terus melakar kemenangan di halaman sendiri apabila bertemu PDRM, Jumaat ini.

Baginya, aksi di Stadium Hang Jebat itu juga adalah medan terbaik untuk memastikan tiga mata mampu diraih selepas melakar kemenangan 2-0 ke atas UiTM pada perlawanan pertama minggu lalu.

“Pada dasarnya semangat pemain amat tinggi untuk mencipta kemenangan dan sudah pasti mereka enggan menghampakan penyokong sendiri .

“Apa yang penting mereka tidak leka dan mengelak daripada melakukan kesilapan mudah yang boleh menjejaskan matlamat meraih mata maksimum,” katanya.

Mohd Noor yang juga bekas pemain kebangsaan, Melaka, Terengganu dan Sarawak, juga yakin dengan kemampuan barisan pemain skuad Hijau Putih kali ini.

Katanya, skuad itu mampu memberi cabaran getir kepada skuad Johor Darul Ta’zim (JDT) yang dilihat sebagai pasukan terkuat di pentas Liga Malaysia (Liga M).

Bekas ketua jurulatih Terengganu City FC itu juga melihat keazaman tinggi semua pemain termasuk pemain berpengalaman, Safiq Rahim, Razman Roslan dan Khairul Fahmi Che Mat.

Disiarkan pada: March 3, 2020 @ 6:46pm
d