arena

Bagi 'can' Rufino pulih sepenuhnya

Oleh Firdaus Hashim

KETUA jurulatih Selangor, B Sathianathan enggan terburu-buru mengerah tenaga Rufino Segovia pada aksi kedua Liga Super menentang Perak di Stadium Nasional Bukit Jalil, Sabtu ini.

Rufino, 35, yang baru pulih daripada kecederaan urat tumit sepanjang musim lalu diberi peluang beraksi pada babak kedua ketika skuad Red Giants meraih kemenangan 2-1 ke atas Pahang dalam aksi pertama liga minggu lalu.

Walaupun hanya diberi tempoh selama 45 minit di Stadium Darul Makmur, Kuantan, namun impak kehadiran bekas pemenang Kasut Emas musim 2018 itu nyata menambah sengat di jentera serangan pasukan, sekali gus membawa pulang tiga mata ke Shah Alam.

“Saya takkan tekan dia (Rufino) kerana dia baru pulih daripada kecederaan. Memang dia bahaya apabila ada di atas padang, tapi kita tak boleh bergantung 100 peratus kepada dia saja.

Pemain lain juga boleh memikul tugas dan saya akan berikan peluang kepadanya apabila tiba masa sesuai. Malah, dia tahu apa yang saya mahukan dan dia boleh kita gunakan sebagai senjata rahsia pasukan.

“Tapi, secara keseluruhan saya berpuas hati dengan permainan Rufino di Pahang dan ingin saya tegaskan dia adalah pejuang hebat kerana mampu bangkit semula daripada kecederaan panjang,” katanya kepada Arena Metro, semalam.

Sementara itu, mengenai pertukaran venue di saat akhir ekoran kegagalan mendapatkan lampu hijau daripada Liga Bolasepak Malaysia (MFL), beliau menganggap ia bukan alasan untuk anak buahnya gagal memperagakan aksi menarik di Bukit Jalil nanti.

“Kita tak berlatih pun lagi di Bukit Jalil dan kalau ikutkan di Stadium Shah Alam pun kita jarang berlatih di sana walaupun itu adalah stadium rasmi kita. Saya tak lihat ia sebagai masalah kerana mereka pemain profesional dan harus bersedia untuk beraksi di mana-mana sekalipun.

“Saya ada pergi melihat permukaan padang (Stadium Bukit Jalil) dan semuanya okey. Saya harap kita dapat bermain baik apabila menentang Perak nanti,” katanya.

Sebelum ini, MFL meminta Selangor mencari gelanggang lain susulan masalah bumbung bocor di Stadium Shah Alam yang jelas membahayakan penyokong dan pasukan.

Disiarkan pada: March 5, 2020 @ 6:01am
d