arena

Hatrik Mbappe bantu PSG bedal Lyon

Oleh Reuters

JARINGAN hatrik Kylian Mbappe membolehkan Paris St Germain membelasah Olympique Lyonnais 5-1 untuk mara ke final Piala Perancis sekali gus berpeluang merangkul treble domestik.

Pendahulu Ligue 1, PSG yang juga akan berdepan Lyon pada final Piala Liga berpesta gol hasil tiga jaringan Mbappe dan gol Neymar, Pablo Sarabia selepas Martin Terrier terlebih dahulu meletakkan tuan rumah di depan pada awal perlawanan.

Lyon menamatkan perlawanan dengan 10 pemain apabila Fernando Marcal dibuang padang pada minit ke-61 selepas menerima kad kuning kedua menyebabkan pertahanan mereka goyah ketika kedudukan 1-1.

PSG akan menentang juara bertahan Stade Rennais atau St Etienne di Stade de France pada 25 April.

Terrier meletakkan juara bertahan di depan pada minit ke-11 selepas menyambar hantaran Karl Toko-Ekambi tetapi Mbappe menyamakan kedudukan tiga minit kemudian menerusi tolakan jarak dekat untuk jaringan ke-28 dalam semua kejohanan musim ini.

Bola terkena tangan Marcal menyebabkan dia menerima kad kuning kedua dan Neymar menyempurnakan penalti dan PSG bijak memanfaatkan peluang menerusi Mbappe untuk jaringan kedua hasil larian kencang dari jarak 60 meter.

Sarabia menambah derita Lyon dari jaringan jarak dekat, jaringan ketujuhnya dalam semua kejohanan musim ini sebelum Mbappe melengkapkan kemenangan pelawat pada masa kecederaan.

Disiarkan pada: March 5, 2020 @ 8:13am
d