arena

United perlu dua atau tiga tahun lagi

Oleh Agensi

WAYNE Rooney percaya Manchester United perlu dua atau tiga tahun lagi untuk mengembalikan zaman kegemilangan dengan bekas kapten Red Devils itu menjadikan Liverpool dan Manchester City sebagai contoh.

Rooney menikmati kejayaan gemilang di Old Trafford dengan muncul penjaring terbanyak sepanjang zaman dan memenangi lima gelaran Liga Perdana serta pemenang Liga Juara-Juara.

Pemain berusia 34 tahun itu meninggalkan kelab pada 2017 selepas 13 tahun di Manchester juga antara tonggak United yang muncul juara Liga Perdana kali terakhir pada 2012-13.

Sejak itu, United bergelut dengan hanya dua kali muncul naib juara Liga Perdana manakala skuad Ole Gunnar Solskjaer menduduki tangga kelima dengan 37 mata di belakang pendahulu, Liverpool musim ini.

Menjelang aksi pusingan kelima Piala FA menentang United awal pagi esok, Rooney yang kini menjadi pemain dan jurulatih Derby County menggesa penyokong United lebih bersabar.

"Ia akan mengambil masa dan mungkin perlu dua atau tiga tahun, saya percaya. Mereka perlu membawa masuk beberapa pemain baharu dan mengeluarkan beberapa pemain lain,” kata Rooney kepada wartawan.

"Ia tidak akan berlaku dengan pantas. Mereka telah pun mencubanya dengan [Louis] van Gaal, dan [Jose] Mourinho.

"Jika anda melihat Liverpool dan apa yang mereka lakukan serta Man City, anda tidak akan membeli pasukan untuk tewas sebaliknya Liverpool membina pasukan itu.

"[Pep] Guardiola perlahan-lahan membawa masuk pemain dan menerap pendekatannya. Jadi United perlu lebih sabar dan berusaha membina pasukan yang boleh mencabar dua musuh mereka itu.”

United kini tiga mata di belakang Chelsea yang menduduki tangga keempat dan slot terakhir Liga Juara-Juara selepas 28 pusingan menjelang pertembungan ‘derby’ dengan Manchester City pada Ahad ini di Old Trafford.

Disiarkan pada: March 5, 2020 @ 11:59am
d