arena

Bukan terbengkalai

Oleh Ferzalfie Fauzi

BUKAN projek terbengkalai, itu penjelasan diberikan Presiden Sports Affairs, Raezal Hussein mengenai program mencari bakat muda sukan badminton, Juara Tangkis.

Menurutnya, seramai empat pemain dikenal pasti dan diserapkan ke dalam akademi mereka sebaik sahaja program berkenaan berakhir Disember tahun lalu.

"Selepas program berkenaan empat pemain diserap berlatih secara sepenuh masa termasuk seorang pemain wanita," katanya ketika dihubungi Arena Metro.

Sebelum ini, pembaca Harian Metro mempersoalkan mengenai program berkenaan yang dilihat seperti tidak ada kesinambungan walaupun objektif utama adalah untuk mencungkil bakat baru.

"Sebaik berakhir program berkenaan kita sudah melakukan kesimpulan dan memang ada cadangan untuk mengadakannya bagi musim kedua.

"Apa yang menjadi halangan sekarang ini ialah mengenai situasi terkini di peringkat kerajaan. Bagaimanapun, selepas tamat musim pertama kita ada berjumpa dengan bekas Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

"Beliau memberi sokongan dan sempat berbincang mengenai projek musim kedua namun semua ini sebelum semua benda ini terjadi (perubahan kerajaan)," katanya.

Ditanya mengenai kriteria pemilihan, Reazal mengakui bahawa dua pemain sudah dikenal pasti mampu menyerlah sebelum program bermula lagi.

"Apabila mereka turun beraksi dalam program ini, kita memang nampak jelas kehebatan pemain berkenaan. Ia juga di bawah nasihat Pengarah Program, Rashid Sidek.

"Jadi projek ini bukan terbengkalai, cuma sekarang ini kita masih belum nampak hala tuju berikutan perubahan dalam sistem kerajaan. Dari segi struktur memang kita teruskan dengan mereka berada di bawah akademi kami," katanya.

Program anjuran Akademi Badminton Sports Affairs itu membariskan lapan bekas pemain kebangsaan yang menjulang Piala Thomas pada 1992 serta Olimpian yang terdiri daripada Foo Kok Keong, Cheah Soon Kit, Rahman Sidek, Ong Ewe Hock, Roslin Hashim, Zakry Latif, Koo Kien Keat dan Woon Khe Wei.

Disiarkan pada: March 5, 2020 @ 7:26pm
d