arena

Wafi mula langkah kanan

Oleh BERNAMA

PERMULAAN memberangsangkan buat Mohammad Wafiyuddin Abdul Manaf apabila muncul pemain terbaik Malaysia di pusingan pertama Kejohanan Golf Terbuka Malaysia 2020 hari ini.

Pemain berusia 28 tahun itu yang membenam lima birdie dan satu eagle selepas melakukan empat bawah par 68 untuk menduduki tempat ke-13 berkongsi bersama empat pemain lagi sebelum permainan ditangguhkan berikutan cuaca buruk pada 5.55 petang di Kota Permai Golf and Country Club.

“Dapat peluang bermain dan berlatih di lapangan ini minggu lepas banyak membantu saya. Saya sangat selesa beraksi di sini.

“Secara keseluruhannya saya sangat berpuas hati dengan permainan saya hari ini. Ia memberi keyakinan kerana saya tidak menyertai pertandingan sejak tiga bulan yang lalu,” katanya.

Pemain Australia Andrew Dodt melakukan sembilan bawah par 63 untuk mendahului pusingan pertama kejohanan yang menawarkan US$1 juta (RM4.181 juta) dengan kelebihan dua pukulan mengatasi juara bertahan Asian Development Tour (ADT) Order of Merit 2019, Naoki Sekito dari Jepun.

Sementara itu, Nicholas Fung yang mengekori rapat di belakang Mohammad Wafiyuddin, selepas melakukan tiga bawah par 69, diikuti Shahriffuddin Ariffin, Fakhrul Akmal dan Ben Leong yang melakukan dua bawah par 70.

Pusingan pertama edisi ke-55 Terbuka Malaysia akan bersambung 7.40 pagi esok,diikuti pusingan kedua, 10 minit kemudian.

Hanya 65 daripada 156 pemain akan mara selepas pusingan kedua esok, dalam usaha merebut gelaran juara Terbuka Malaysia 2020, yang kembali selepas empat tahun tidak dianjurkan.

Disiarkan pada: March 5, 2020 @ 10:10pm
d