arena

Jangan lepaskan Aubameyang - Arteta

Oleh Reuters

PENGURUS Arsenal, Mikel Arteta berkata, dia tak rela kehilangan kapten, Pierre-Emerick Aubameyang dan mendesak kelab berunding mengenai kontrak baharu dengan penyerang Gabon itu sebelum tamat musim ini.

Media British melaporkan Aubameyang mungkin meninggalkan Stadium Emirates dalam usaha bermain di Liga Juara-Juara musim depan dengan kontraknya di Arsenal tamat 2021.

"Kami perlu berbuat demikian (rundingan kontrak) secara berperingkat sebelum penghujung musim ini, sudah pasti,” kata Arteta dalam sidang akhbar di London awal pagi tadi.

"Kami akan melihat hasratnya dan hasrat kami serta situasi sekarang. Bagi saya, ia sangat mudah. Saya mahu dia kekal bersama kami walau apa jua keadaan.”

Harapan Arsenal meraih slot kelayakan Liga Juara-Juara tampak tipis menjelang pertembungan dengan West Ham pada Sabtu ini apabila menduduki tangga ke-10 dalam carta Liga Perdana.

Arteta yang menggantikan rakan senegara, Unai Emery sebagai pengurus Arsenal pada Disember lalu mengakui sukar merancang pelan jangka panjang membina semula skuad berdasarkan situasi semasa.

"Saya mempunyai idea jelas terhadap visi pasukan tetapi bergantung kepada prestasi kami musim ini dan apa yang berlaku beberapa musim lepas kerana ia mempunyai impak.”

Lucas Torreira tidak dapat beraksi menentang West Ham selepas mengalami kecederaan buku lali ketika menentang Portsmouth pada pusingan kelima Piala FA, Selasa lalu.

Disiarkan pada: March 6, 2020 @ 9:11am
d