arena

Liverpool pasti bangkit - Mane

Oleh AFP

SADIO Mane menggesa Liverpool menjadikan minggu paling buruk dalam kempen mereka musim ini sebagai pembakar semangat berdepan Bournemouth esok dalam misi menjulang kejuaraan Liga Perdana.

Skuad Jurgen Klopp tewas mengejut 0-3 kepada kelab bergelut, Watford Ahad lalu yang meleburkan hasrat mereka untuk menamatkan kempen musim ini tanpa kalah.

Prestasi buruk The Reds di Vicarage Road disusuli kekalahan 0-2 kepada Chelsea pada pusingan kelima Piala FA pada Rabu lalu.

Klopp sedia mengorbankan Piala FA dengan merehatkan beberapa pemain utama walaupun prestasi Liverpool terus merudum.

Mohamed Salah, Roberto Firmino, Trent Alexander-Arnold dan Alisson Becker antara beberapa bintang yang tercicir dalam kesebelasan utama ketika aksi di Stamford Bridge.

Sama ada langkah itu berkesan akan tampak lebih jelas minggu depan.

Selepas tewas 0-1 kepada Atletico Madrid pada saingan peringkat pertama 16 terakhir, juara Eropah itu kini tewas tiga daripada empat aksi terakhir mereka dalam semua kejohanan.

Liverpool begitu mendominasi saingan liga dengan menang 18 perlawanan berturut-turut sebelum dimalukan Watford tetapi masih 22 mata meninggalkan Manchester City di tangga kedua dan hanya memerlukan empat kemenangan lagi untuk menamatkan kemarau 30 tahun kejuaraan liga.

Atletico akan ke Anfield untuk saingan peringkat kedua tetapi sayap Liverpool, Mane tahu adalah lebih penting fokus kepada cabaran domestik sebelum memikirkan untuk mempertahankan trofi Liga Juara-Juara.

"Kami ada satu lagi aksi penting esok dan kemudian pada Rabu, jadi kami perlu lebih bersedia dan kami akan kembali,” kata Mane.

"Ini boleh berlaku dalam bola sepak dan kami sudah biasa dengan situasi ini. Kami cuma perlu bekerja keras jika mahu muncul juara yang hebat.”

Bournemouth yang menduduki tangga ketiga tercorot amat terdesak mendapatkan mata bagi mengelak penyingkiran dan mereka dijangka memanfaatkan kelonggaran pertahanan Liverpool yang melepaskan tujuh gol dalam tiga perlawanan terakhir.

Ketiadaan Jordan Henderson menyebabkan Liverpool lesu di bahagian tengah dan kepimpinan sehingga pertahanan terdedah kepada serangan balas pantas yang menghasilkan gol seperti dilakukan Ismaila Sarr untuk Watford dan pemain Chelsea, Ross Barkley.

Disiarkan pada: March 6, 2020 @ 11:17am
d