arena

Afif, Norzullaika Olahragawan dan Olahragawati SSMT

Oleh Malik Muhamad

KECEMERLANGAN atlet berbakat besar, Muhammad Afif Jazimin Zainal Abidin dalam sukan sepak takraw dan Siti Norzullaika Ramli, olahraga melayakkan mereka dinobatkan sebagai Olahragawan dan Olahragawati Sekolah Sukan Malaysia Terengganu (SSMT) 2019 dalam Majlis Anugerah Gemilang di Stadium Tertutup Kompleks Sukan Negeri di Gong Badak, hari ini.

Bagi kategori Olahragawan Harapan pula, atlet silat Mohammad Afifi Nazri muncul pemenang manakala atlet olahraga, Alitia Grace Anak Sigan dipilih sebagai pemenang Olahragawati Harapan SSMT.

Atlet merejam lembing berusia 18 tahun, Siti Aminah Abd Hadi dinobatkan sebagai pemenang Anugerah Berlian yang pertama kali diperkenalkan pada penganjuran edisi keempat itu.

Atlet kelahiran Johor itu dipilih selepas mewakili negara dalam kejohanan Sekolah Asean selain berjaya meraih 6A dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Anugerah Khas Individu pula diraih atlet olahraga, Muhammad Syakir Daniel Fauzi manakala Anugerah Khas Berpasukan disandang pasukan sepak takraw yang dibimbing bekas perejam skuad kebangsaan, Mohd Futra Abd Ghani.

Turut mendapat pengiktirafan atlet lontar peluru, Syazwan Ifwat Mahadzir bagi Anugerah Terbaik PT3, manakala Al-Afdal Mirza Syahmi Kadapi daripada sukan lompat tinggi meraih Anugerah Terbilang SPM.

Kecemerlangan yang diraih atlet olahraga sekolah berkenaan menyaksikan jurulatih olahraga, Mohd Nizam MD Yusop dianugerahkan sebagai Jurulatih Ajuya Terbaik SSMT.

"Anugerah ini mampu menyuntik lagi semangat saya dalam misi melahirkan lebih ramai atlet olahraga berbakat yang mampu mewakili negeri dan kebangsaan suatu hari nanti seperti mana bekas anak didik saya, Azreen Nabila Alias yang kini mewakili negara selepas dinobatkan ratu pecut Sukan Malaysia (SUKMA) 2018," ujar Nizam ketika ditemui selepas selesai majlis berkenaan.

Majlis anugerah gilang-gemilang itu disempurnakan Timbalan Pengarah Sektor Pembangunan dan Kecemerlangan Sukan, Kokurikulum dan Kesenian (BSKK), Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Razuki A. Rahim, turut hadir Pengetua SSMT, Huszaidi Hussin.

Disiarkan pada: March 6, 2020 @ 6:44pm
d