arena

Dodt kekal pendahulu

Oleh BERNAMA

PEMAIN Australia, Andrew Dodt mengekalkan kedudukan pendahulu keputusan ‘clubhouse’ pusingan kedua, selepas melakukan pukulan keseluruhan 13 di bawah par 131, pada edisi ke-55 Kejohanan Golf Terbuka Malaysia di Kota Permai Golf & Country Club, hari ini.

Pemain berusia 34 tahun yang bermula baik pada pusingan pertama dengan melakukan sembilan di bawah par 63 semalam, bagaimanapun gagal mengekalkan rentak cemerlangnya apabila melakukan empat birdie bagi mencatatkan empat di bawah par 68, sebelum permainan terganggu akibat cuaca buruk.

“Saya berjaya meletakkan bola dengan baik di atas green, namun gagal menyempurnakan ‘putts’ seperti semalam, tetapi keseluruhannya saya bermain dengan baik. Saya lakukan satu pukulan 10 kaki menuruni bukit pada akhir-akhir permainan dan dapat melihat bola itu terus masuk.

“Sehingga kini pukulan saya tidak tersasar. Bagusnya saya kekal bermain tanpa ‘bogey’ dan bermain dengan baik. Saya bermain dengan sedikit teknikal dalam pukulan saya.

“Sehingga kini saya telah lakukannya dan gembira berada pada kedudukan yang baik, dengan kejohanan tinggal dua hari lagi. Saya akan terus bermain dengan gembira, kekal biasa dan kekal santai seperti yang telah saya lakukan. tiada yang berubah,” katanya.

Sekalipun dengan permainan yang sempurna, Andrew sedar saingan pemain China, Liu Yanwei, yang mengekori rapat dengan ketinggalan hanya satu pukulan dengan keseluruhan 12 di bawah par 132.

Walaupun melakukan dengan dua bogey, pemain berusia 22 tahun itu melakukan tujuh di bawah par 65, satu keputusan terbaik setakat ini, dengan melakukan sembilan birdie, pada kejohanan yang diiktiraf Asian Tour dan dengan kerjasama Organisasi Golf Jelajah Jepun (JGTO).

“Kali terakhir saya melakukan sembilan birdie dalam satu pusingan kejohanan adalah ketika Jelajah China, Mac tahun lepas.

Permainan saya kebelakangan ini agak baik dan ini mungkin pencapaian terbaik pernah saya lakukan... saya sangat gembira dengan permainan saya dua hari ini, dan berharap yang lebih baik hujung minggu ini,” katanya.

Trevor Simsby dari Amerika Syarikat menjadi pemain terbaik hari ini selepas mencatatkan lapan di bawah par 64, untuk berkongsi tempat ketiga bersama dengan rakan senegara Jarin Todd dengan jumlah keseluruhan 11 di bawah par 133.

Berikutan cuaca buruk yang melanda kejohanan dua hari berturut-turut, hampir separuh (77) daripada 156 pemain akan meneruskan pusingan kedua mereka pada 7.40 pagi esok, diikuti pusingan ketiga yang di jangka berlangsung sebelum 11.30 pagi.

Dengan ‘halfway cut’ dijangkakan pada satu di bawah par 143, di mana hanya 65 pemain akan layak ke pusingan akhir untuk dua pusingan terakhir pada hari minggu ini.

Disiarkan pada: March 6, 2020 @ 9:45pm
d