arena

Melaka pungut tiga mata di laman sendiri

Oleh Nazri Abu Bakar

MELAKA meneruskan rentak kemenangan apabila berjaya menewaskan PDRM 3-1 pada aksi Liga Super di Stadium Hang Jebat, Paya Rumput malam ini.

Selepas kemenangan pertama menewaskan UiTM FC 2-0 minggu lalu, tuan rumah meneruskan aksi cemerlang di laman sendiri di hadapan hampir 4,000 penyokong setia skuad Hang Tuah.

Bagaimanapun aksi hambar pada awal babak permainan hanya terungkai menerusi jaringan bekas penyerang The Cops musim lalu Uche Agba pada minit ke-17 perlawanan.

Gol terbabit terhasil selepas penyerang kelahiran Nigeria itu menerima hantaran lintang pertahanan kiri Wan Amirul Afiq Wan Ab Rahman untuk menanduk cantik ke kiri gawang pelawat sekali gus menewaskan penjaga gol See Tian Keat.

Bersambung babak kedua tuan rumah pantas menggandakan asakan untuk menambah jaringan bermula menerusi percubaan Saiful Ridzuan Selamat (m-38) namun tersasar ke kiri gawang pelawat.

Peluang terbaik menambah jaringan hadir menerusi Agba seminit selepas itu namun rembatannya berjaya ditepis keluar oleh Tian Kiat.

Buruan jaringan kedua Melaka akhirnya hadir menerusi tolakan kapten pasukan Safiq Rahim pada minit ke-70 selepas menerima hantaran Wan Amirul Afiq.

Malah Wan Amirul Afiq yang beraksi cemerlang sepanjang babak permainan mencipta jaringan menarik pada minit ke-90 menerusi rembatan kencang dari luar kotak penalti untuk gol ketiga Melaka.

Sebelum itu, The Cops berjaya meledak jaringan saguhati menerusi Antonio Timothy pada minit ke-80 selepas menerima hantaran Muhamad Eskandar Ismail menewaskan penjaga gol Khairul Fahmi Che Mat.

Disiarkan pada: March 6, 2020 @ 11:08pm
d