arena

Sofia mara ke separuh akhir Terbuka Lyon

Oleh AFP

SOFIA Kenin mara ke separuh akhir buat kali pertama sejak meraih kejuaraan sulung Grand Slam di Terbuka Australia bulan lalu dengan mengalahkan pemain Perancis, Oceane Dodin di Terbuka Lyon.

Pemain pilihan utama kelahiran Amerika Syarikat itu berjaya bangkit selepas tumpas di set kedua untuk mencatat kemenangan 6-1, 6-7 (5/7), 6-2 berdepan pemain nombor 130 dunia.

“Ia masih lagi belum sempurna namun saya seperti sudah menemui rentak. Saya bermain dan menguasai permainan dengan baik.

“Saya berasa sempurna di pusingan pertama namun ia masih belum 100 peratus. Sekurang-kurangnya saya mencatat kemenangan dan ini adalah permainan terbaik saya (dalam kejohanan ini),” kata Sofia kepada wtatennis.com.

Pemain nombor lima dunia itu bakal berdepan pilihan ketiga dari Perancis, Caroline Garcia atau Alison Van Uytvanck bagi memburu final keenamnya di WTA.

Dia mengambil masa selama 26 minit untuk memenangi set pertama namun bergelut pada aksi seterusnya hingga tewas melalui tie break apabila gagal memegang servis dengan kemas pada permainan kesembilan.

Pemain berusia 21 tahun itu berjaya bangkit selepas mematahkan servis lawan sebanyak tiga kali sebelum mengesahkan kemenangan.

Disiarkan pada: March 7, 2020 @ 11:16am
d