arena

Tok Gajah tempang tanpa Davies

Oleh Mohd Rafi Mamat

SKUAD Pahang yang dilabel sebagai antara pasukan pencabar musim ini perlu segera mencari formula terbaik untuk menyekat episod tewas tidak terus dialami pada saingan Liga Super yang memasuki perlawananan kedua.

Ini ditegaskan bekas penyerang kebangsaan Zulhamizan Zakaria yang berpendapat permulaan sumbang dilakar pasukan Tok Gajah bimbingan Dollah Salleh yang tewas pada dua perlawanan tidak seharusnya berlaku.

Katanya, kerapuhan benteng pertahanan yang sedikit leka terutama pada minit terakhir permainan dilihat menjadi faktor utama Pahang tewas 1-2 kepada Selangor, Sabtu lalu dan lebih kecewa dijinakan pasukan bertaraf kelab PJ City 2-3 malam tadi.

“Saya tidak menolak faktor kehilangan pemain pertahanan kanan kebangsaan Matthew Davies menjadi punca skuad Tok Gajah tewas dua kali berturut-turut musim ini, kelonggaran posisi pertahanan memberi peluang kepada pasukan lawan mengambil kesempatan.

“Sebelum ini ketua pasukan Pahang itu menjadi pencetus kekuatan benteng pertahanan pasukan Pahang, arahan serta persefahaman dengan Muslim Ahmad, Faisal Rosli dan Herold Goulon dianggap yang terbaik sebelum ini.

“Namun kini tanpa kelibat Davies yang beraksi bersama Johor Darul Ta’zim (JDT) mencetuskan kelonggaran dibahagian pertahanan Tok Gajah walaupun meletaKkan pemain import baharu Khalil Khamis,” katanya, di sini hari ini.

Beliau berkata, gol di penghujung perlawanan juga suatu yang sukar diterima, pada pertemuan dengan Selangor di Stadium Darulmakmur, apabil pelawat mendapat gol kemenangan minit ke-89 dan malam tadi di Stadium UiTM Shah Alam minit ke-90 PJ City mendapat gol ketiga.

Zulhamizan yang sebelum ini melatih pasukan Polis Diraja Malaysia Malaysia (PDRM) berkata, kegagalan Tok Gajah meraih mata pada dua perlawanan mengugatkan pemburuan mereka menjulang Piala Liga Super musim ini, impian mendakap kejuaraan akan tertutup sekiranya sekali lagi mereka tewas.

“Saya agak terkejut dengan dua keputusan yang mengecewakan dilakar skuad Pahang musim ini, bertemu PJ City mereka sepatutnya mencatat kemenangan mudah namun berlaku sebaliknya apabila dikecewakan pasukan bertaraf kelab.

“Saya berharap Dollah tidak berputus asa sebaliknya dapat segera mencari tonik yang paling terbaik untuk diberikan kepada pemain bagi menghadapi perlawanan seterusnya selepas ini.

“Episod duka pada dua perlawanan lalu perlu dilupakan, buka buku baru yang mungkin mampu mengubah nasib skuad pantai timur itu,” katanya yang sentiasa melihat perkembangan bekas pasukannya itu.

Disiarkan pada: March 7, 2020 @ 1:29pm
d