arena

Cuaca buruk jejas kerancakan Terbuka Malaysia

Oleh BERNAMA

KEJOHANAN Golf Terbuka Malaysia 2020 terpaksa dipendekkan kepada kejohanan 54 lubang, akibat cuaca buruk yang melanda sejak tiga hari lepas, di Kota Permai Golf & Country Club, Shah Alam, hari ini.

Pengarah Kejohanan Asian Tour, Fritz Katzengruber mengesahkan, pihak penganjur dan penaja terpaksa memendekkan kejohanan edisi ke-55 itu daripada kejohanan 72 lubang kepada 54 lubang, selepas gagal untuk meneruskan pusingan ketiga hari ini.

“Kejohanan telah terjejas akibat beberapa kelewatan dan penangguhan akibat cuaca buruk sepanjang minggu ini.

“Akibat kelewatan dan gangguan yang kami alami, kami telah mengambil keputusan untuk mengurangkan kejohanan ini kepada 54 lubang,” katanya.

Peringkat akhir kejohanan AS$1 juta (kira-kira 4.16 juta) itu dijadualkan bermula pada 8.30 pagi Ahad.

Kejohanan berkenaan berhadapan dengan ancaman kilat dan cuaca buruk, sejak pusingan pembukaan pada Khamis, dengan pusingan pertama ditangguhkan pada jam 5.55 petang dan pusingan kedua dihentikan pada 4.15 petang.

Pusingan kedua disambung pada 8.15 pagi ini, selepas ditunda hampir satu jam akibat hujan, dengan 74 pemain termasuk dua pemain amatur, melepasi “halfway cut” yang ditetapkan, iaitu satu di bawah par 143.

Tidak lama selepas pusingan ketiga bermula, petang ini, permainan ditangguhkan untuk hari ketiga pada 2.05 petang akibat ancaman petir, memaksa penganjur memendekkan kejohanan.

Pemenang Terbuka Sarawak 2019 Andrew Dodt dari Australia yang tidak sempat memulakan permainan pusingan ketiga, mendahului senarai pemain dengan catatan keseluruhan 13 di bawah par 131, satu pukulan di hadapan pemain China Liu Yanwei.

Ini bukanlah kali pertama Terbuka Malaysia dipendekkan akibat cuaca yang tidak menentu di negara itu, dengan sebelum ini berlaku pada tahun 2013, ketika Kiradech Aphibarnrat dari Thailand menjadi juara.

Kejohanan ini yang kembali selepas empat tahun, diiktiraf oleh Asian Tour dan dengan kerjasama bersama Organisasi Jelajah Golf Jepun (JGTO).

Disiarkan pada: March 7, 2020 @ 7:12pm
d