arena

Nafuzi puji pemain bangkit cipta kemenangan

Oleh Izzali Ismail

PENGEDALI Terengganu FC (TFC) Nafuzi Zain memuji barisan pemainnya yang berjaya menewaskan Kedah dengan jaringan 4-3 di Stadium Darul Aman semalam dan mengakui ia bukan sesuatu yang mudah untuk dicapai.

Nafuzi juga melahirkan rasa syukur diatas taktikal yang dicorakkannya itu akhirnya memberi kejayaan sehingga mampu bangkit walaupun ketinggalan dengan jaringan 1-3 pada pertengahan perlawanan.

“Saya rasa sangat bersyukur diatas kemenangan malam ini dan kita tahu walaupun kita menang, tetapi Kedah memiliki banyak peluang, cuma rezeki memihak kepada kami pada perlawanan ini.

“Walaupun ketinggalan 1-3 pada mulanya dipertengahan perlawanan, kami berjaya bangkit mengatasi Kedah dengan keputusan 4-3 yang mana saya anggap itu bukan sesuatu yang mudah dilakukan tambahan pula di Stadium Darul Aman.

“Selepas kekalahan pada perlawanan pertama kepada Perak, pemain sedar mengenai kelemahan yang mereka perlu perbaiki dan akhirnya mereka berjaya bangkit untuk mengutip tiga mata keatas Kedah dan ini memberi keyakinan buat semua pemain dipermulaan musim,” katanya.

Nafuzi juga mengakui faktor kekalahan pada perlawanan pertama ketika tewas 1-3 kepada Perak menjadi pengajaran berguna buat skuadnya untuk kembali bersemangat dan sekali gus menebus kekalahan pada perlawanan menentang Kedah semalam.

“Malam ini kita bangkit dan sedar apa yang perlu kita lakukan selepas kita tewas minggu lalu dan saya lihat pemain percaya dengan apa yang boleh mereka lakukan untuk mencari kemenangan.

“Saya bangga dengan apa yang semua pemain tunjukkan dan dalam masa yang sama saya juga melihat masih ada kekurangan yang harus kita perbaiki pada perlawanan akan datang walaupun menang 4-3 tetapi kita juga bolos tiga gol malam ini.

“Kemenangan ini memberi keyakinan buat semua pemain di permulaan musim. Bola sepak pada saya bila kita menang semuanya baik tapi bila kalah ramai yang akan mencari kelemahan yang kita ada,” katanya.

Nafuzi dalam masa yang sama juga memuji peyerangnya Dominique Sylva yang berjaya meledak empat gol sekali gus membantu untuk kemenangan TFC pada kali ini.

“Dominique memang penyerang yang kita ambil bagi menggantikan Kipre Tchetche dan saya penuh percaya dengan pemain ini dimana kita tahu disaat-saat penting beliau mampu melakukan ‘sesuatu’ untuk membantu pasukan.” katanya.

Disiarkan pada: March 8, 2020 @ 1:13pm
d