arena

Rouxin dapat tajaan daripada IIB

ISKANDAR Investment Berhad (IIB) memperkasa pembangunan bakat sukan tempatan dengan menaja perenang cilik, Tan Rouxin yang bakal beraksi pada Sukan Malaysia (SUKMA) bermula 11 hingga 19 Julai nanti.

Penajaan terhadap Rouxin, 14, akan membabitkan kos latihan serta keperluan yang bersesuaian bernilai kira-kira RM15,000.

Pemilihan atlet itu berdasarkan pencapaiannya dinobatkan sebagai Atlet Harapan di Hari Anugerah Sukan Kementerian Pendidikan Malaysia (MOE)- MSSM Milo 2018 selain menggondol pingat emas dan perak di kejohanan tempatan dan antarabangsa.

Penyertaan Rouxin di SUKMA akan menjadikannya atlet termuda yang beraksi di temasya itu nanti.

Ketua Pegawai Eksekutif IIB, Datuk Ir Khairil Anwar Ahmad berharap tajaan yang diberikan itu nanti mampu memberi suntikan motivasi buat Rouxin untuk terus meraih kejayaan gemilang untuk Johor dan negara.

“IIB sentiasa percaya dan yakin dalam mengembangkan bakat tempatan di Johor dan seiring dengan aspirasi kami untuk bertindak sebagai pemangkin perubahan.

“Sokongan sebegini membolehkan bakat tempatan dapat mengikuti program pembangunan sukan berstruktur untuk mencapai prestasi optimum mereka.

“Kemudahan Pusat Akuatik, Kompleks Sukan EduCity yang dibina mengikut piawaian Persekutuan Renang Antarabangsa (FINA) seperti kolam renang bersaiz Olimpik, ‘touch pad’, papan skor elektronik dan kolam pemanas badan menjadikannya sebagai medan latihan terbaik dalam menghasilkan juara renang,” katanya.

Sementara itu, Khairil mengalu-alukan kehadiran atlet untuk berlatih di ESC selaras dengan hasrat IIB membangunkan bakat tempatan melalui program pembangunan sukan selain.

Disiarkan pada: March 8, 2020 @ 1:43pm
d