arena

Da Sylva jelmaan Marlon

Oleh Izzali Ismail

EMPAT gol jaringan penyerang baharu Terengganu FC (TFC) Dominique Da Sylva mengejutkan penyokong Kedah apabila menyaksikan skuad Lang Merah tewas 3-4 pada aksi Liga Super di Stadium Darul Aman semalam.

Kelincahan, kelebihan susuk badan dan bijak menggunakan kesempatan memecah blok pertahanan Kedah ternyata menjadi perhatian netizen sehingga ada yang menganggapnya jelmaan pemain legenda Kedah, Marlon Alex James yang pernah beraksi cemerlang di zaman 'Double Treble' suatu ketika dahulu.

Menurut penyerang berusia 30 tahun ini, beliau tidak menjangkakan mampu menjaringkan empat gol di Stadium Darul Aman selain menegaskan ia bukanlah misi yang mudah.

“Saya sangat gembira dapat membantu pasukan meraih kemenangan ini kerana bukan mudah untuk untuk mencipta banyak gol di tempat lawan."

“Selepas kekalahan pertama bersama pasukan di laman sendiri minggu lalu, saya berazam mahu bangkit menyumbangkan gol untuk pasukan bagi mendapatkan tiga mata penuh di tempat lawan.

“Ini bukan usaha saya seorang tapi usaha semua rakan sepasukan yang bekerja keras dan tidak menyerlah kalah bagi memastikan kejayaan pasukan,” katanya.

Ditanya mengenai kemampuan dirinya yang cepat menyesuaikan diri sebagai pemain baharu di Liga Malaysia, bekas penyerang Ho Chin MinCity dan Saigon FC yang beraksi di Liga Vietnam itu berkata, dia hanya memberi fokus untuk membentuk kombinasi terbaik bersama rakan sepasukan.

“Kali terakhir saya menjaringkan empat gol adalah sewaktu beraksi di Liga Vietnam. Kali ini saya perolehi peluang sekali lagi di Liga Malaysia dan harap ia akan membangkitkan lagi semangat saya untuk terus mencipta gol pada perlawanan akan datang.

“Saya mahu melupakan kejayaan ini dan akan terus memberi tumpuan untuk perlawanan akan datang,” katanya.

Disiarkan pada: March 8, 2020 @ 6:26pm
d