arena

Persembahan terburuk Real Madrid - Zidane

Oleh Reuters

JURULATIH Real Madrid, Zinedine Zidane berang dengan prestasi pasukannya selepas tewas 1-2 kepada Real Betis dan menganggap persembahan anak buahnya awal pagi tadi yang paling buruk dalam aksi La Liga musim ini.

"Hari ini kami tempang segalanya, ia prestasi paling buruk musim ini,” kata Zidane dalam sidang akhbar selepas kekalahan itu menyebabkan Real ketinggalan dua mata di belakang Barcelona dengan berbaki 11 perlawanan.

"Kami hilang tenaga, kreativiti, penguasaan bola dan tidak agresif. Kami gagal beraksi baik pada kedua-dua babak, melakukan banyak kesilapan, kerap kehilangan bola dan apabila anda tidak berada pada tahap terbaik, situasi menjadi lebih buruk.”

Madrid berpeluang mengukuhkan cengkaman takhta liga selepas menewaskan Barca 2-0 dalam aksi 'Clasico' tetapi gagal menyaingi Betis sejak awal perlawanan.

Mereka bernasib baik menyamakan kedudukan menuju rehat babak pertama menerusi penalti Karim Benzema selepas Sidnei meletakkan tuan rumah di depan tetapi Betis terus mendominasi perlawanan dan meraih gol kemenangan menerusi rembatan Cristian Tello ketika permainan berbaki lapan minit.

"Kami tak berhak menang dan kami perlu menganalisa balik permainan kami,” kata Zidane.

"Hari yang sangat buruk buat kami tetapi ia boleh selalu berlaku. Kami perlu bangkit selepas ini dan mencari solusi. Kami memiliki kekuatan tetapi ada kelemahan tetapi kami yakin mampu mengatasinya.

Pemain tengah Real, Casemiro berkata, kekalahan itu boleh menyentap peluang mereka untuk meraih gelaran pertama sejak 2017 dan membuka peluang kepada Barcelona menjulang trofi untuk tiga musim berturut-turut.

"Jika anda mahu menang liga, anda perlu beraksi baik dan kekal konsisten dalam setiap perlawanan. Mereka beraksi lebih baik berbanding kami dan tahniah Betis,” katanya.

Disiarkan pada: March 9, 2020 @ 8:16am
d