arena

Liverpool hanya perlu menang dua aksi lagi

Oleh Agensi

JARANG sekali penyokong Liverpool meraikan kejayaan Manchester United tetapi kemenangan Red Devils ke atas Manchester City membolehkan skuad Jurgen Klopp kini di ambang kejuaraan Liga Perdana.

Malahan, The Reds boleh mencapai impian mereka untuk menamatkan kemarau gelaran liga 30 tahun dalam tempoh kurang seminggu dengan tanpa menyepak bola.

Jaringan Anthony Martial dan Scott McTominay membolehkan United menewaskan City 2-0 sekali gus bermakna Liverpool hanya perlu menang dua lagi perlawanan untuk menjulang gelaran liga ke-19.

Bagaimanapun, kelab Merseyside itu hanya boleh dinobat juara tanpa menendang bola minggu depan ketika City beraksi dua kali sebelum Reds kembali bertarung dalam perlawanan domestik.

City berkelebihan satu perlawanan minggu ini apabila mereka menerima kunjungan Arsenal pada pagi Khamis, perlawanan yang ditunda bagi membolehkan City menentang Aston Villa pada final Piala Liga dan juara bertahan Liga Perdana itu sekali lagi beraksi menentang Burnley di Stadium Etihad pada Sabtu ini.

Jika mereka tewas kedua-dua perlawanan, trofi Liga Perdana milik Liverpool. Bagaimanapun, andai City hanya menang satu, Liverpool berpeluang meraikan kejuaraan di Goodison Park menentang Everton pada pagi Selasa minggu depan.

Jika City meraih mata maksimum dalam kedua-dua perlawanan, Liverpool hanya mengecapi nikmat juara seawal 21 Mac dengan menang dua perlawanan termasuk menang di Everton sebelum menerima kunjungan Crystal Palace yang dijangka menjadi hari bersejarah di Anfield. Liverpool menamatkan rentetan tiga kekalahan dalam empat perlawanan dengan menewaskan Bournemouth 2-1, kelmarin tetapi fokus mereka kembali ke Eropah apabila skuad Klopp menerima kunjungan Atletico Madrid dalam saingan peringkat kedua 16 terakhir pada pagi Khamis ini selepas tewas 0-1 pada peringkat pertama.

Disiarkan pada: March 9, 2020 @ 11:38am
d