arena

PDRM tak goyah reputasi JDT

Oleh Malik Muhamad

PENGENDALI PDRM, Mohamad Ishak Kunju Mohamad menyasarkan sekurang-kurangnya satu mata apabila skuadnya melayani kunjungan gergasi Liga Malaysia (Liga M), Johor Darul Ta`zim (JDT), pada aksi Liga Super di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras malam esok.

Beliau berkata, sasaran itu realistik bagi mengelak anak buahnya tertekan kerana Harimau Selatan yang juga juara Liga Super enam kali berturut-turut mempunyai barisan serba lengkap di setiap posisi ditambah lima tenaga import berbanding hanya tiga dimiliki The Cops.

Bagaimanapun, jika anak buahnya berjaya melakukan kejutan ia bonus buat pasukannya yang setakat ini belum melakar sebarang kemenangan dalam dua aksi awal.

"Biarpun sedar skuad JDT sukar disaingi, tapi secara keseluruhannya semua pemain sudah bersedia memperagakan aksi terbaik untuk sekurang-kurangnya mencipta seri lebih-lebih lagi beraksi di laman sendiri.

"Tapi jika berjaya melakar kejutan, saya anggap bonus kerana kami tahu kekuatan JDT, justeru bagi memastikan pemain mampu menyaingi lawan, akan ada sedikit rombakan dalam senarai pemain selain perubahan taktikal," ujar Ishak.

Dalam dua aksi terdahulu,mereka hanya mampu seri 0-0 bertemu Sabah sebelum tewas 1-3 kepada Melaka Jumaat lalu.

Mengulas lanjut, Ishak menyatakan beliau menarik nafas lega selepas penyerang importnya dari England, Antonio German sudah menemui sentuhan jaringan ketika aksi kedua bertemu skuad Hang Tuah.

Disiarkan pada: March 9, 2020 @ 12:56pm
d