arena

Lapor isu rasis

Oleh Syazwan Msar

LIGA Bolasepak Malaysia (MFL) mengakui serangan atau provokasi melampau termasuk mengeluarkan perkataan berbau rasis di media sosial dilakukan segelintir penyokong ‘nakal’ yang tidak berpuas hati dengan tindakan atau prestasi pasukan kegemaran masing-masing.

Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Datuk Ab Ghani Hassan berkata, setiap kelab atau pasukan negeri perlu memantau secara lebih terperinci berkaitan perkara terbabit termasuk ‘serangan’ berbau penghinaan dan rasis di media sosial.

Beliau yang juga Ahli Lembaga Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) berkata, kelab atau pasukan negeri tidak seharusnya menyerahkan kepada MFL untuk tindakan susulan namun mereka boleh membuat laporan kepada pihak berkuasa bagi mengekang daripada insiden berkenaan terus terjadi.

“Jika diikutkan negara kita tidaklah serius berkaitan rasis namun di peringkat MFL akan teliti perkara ini walaupun tidak mendapat sebarang laporan rasmi daripada pihak berkaitan.

“Malah, di peringkat FAM sendiri ada membincangkan perkara berkaitan dan turut memandang serius apa yang diperkatakan oleh pengendali Selangor B Sathiananthan,” katanya, ketika ditemui pada sidang media selepas Majlis Pelancaran Liga Premier Futsal Malaysia (MPFL), di Wisma FAM, hari ini.

Sebelum itu, kem Selangor agak tegang apabila isu rasis daripada penyokong mereka mengganggu fokus pemain untuk beraksi lebih baik ketika di padang.

Isu berkenaan menyebabkan pengendali skuad Gergasi Merah mengamuk ketika sidang media selepas perlawanan Liga Super menentang Perak di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam Sabtu lalu apabila beliau tidak menjangkakan perkara terbabit boleh berlaku ketika Selangor baharu saja mengharungi dua saingan liga.

Sathia berkata, isu rasis berkenaan yang timbul berikutan meletakkan pemain berketurunan India adalah berdasarkan kebolehan dan kemampuan mereka untuk membantu pasukan bukannya ‘pilih bulu’ hingga menidakkan individu lain.

Disiarkan pada: March 9, 2020 @ 8:05pm
d