arena

Penyokong tegar Liverpool dilantik Menteri

Oleh Syazwan Msar

PEMINAT tegar juara Eropah dan pendahulu Liga Perdana Inggeris (EPL), Liverpool dilantik sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) dalam senarai kabinet baharu Menteri di Malaysia hari ini.

Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri yang diketahui ramai peminat tegar Liverpool dilantik memegang portfolio berkenaan yang diumumkan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Seperti sedia maklum, beliau sering memberi ulasan dan aktif di laman sosial berkaitan perlawanan Liverpool hingga mengundang pelbagai reaksi netizen.

Sudah tentunya, lantikannya itu menerima pelbagai reaksi daripada netizen terutama penyokong skuad The Reds yang melihat beliau sesuai memegang jawatan terbabit berdasarkan pengetahuan dan pengalamannya.

Beliau banyak menghasilkan penulisan, penterjemahan serta aktif dalam membentangkan kertas kerja sama ada di peringkat negeri, kebangsaan dan antarabangsa, lebih 200 kertas kerja di pelbagai seminar dan forum.

Selain itu, beliau turut berpengalaman menjadi penulis tamu di Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan ruangan Bicara Agama di Utusan Malaysia.

Sejarah tercipta apabila beliau menjadi mufti pertama dilantik sebagai Menteri.

Disiarkan pada: March 9, 2020 @ 9:01pm
d