arena

Skuad memanah Sabah cemerlang

Oleh Malik Muhamad

KONTINJEN Sabah mencapai sasaran dalam Kejohanan Memanah Kebangsaan Siri 1 selepas cemerlang dengan membawa pulang tiga pingat emas, satu perak dan tiga gangsa dalam kejohanan yang berlangsung di Lapang Sasar Teluk Ketapang, Terengganu, semalam.

Sebanyak 36 pasukan menyertai kejohanan selama empat hari itu dengan kontinjen Institut Pengajian Tinggi (IPT) meraih tempat pertama selepas mengutip empat pingat emas dan dua gangsa.

Sabah di tangga kedua manakala tuan rumah, Terengganu terpaksa berpuas hati dengan pungutan satu pingat emas, dua perak dan satu gangsa.

Pingat emas pertama Sabah diraih menerusi gandingan Wong Sen Li, Lee Kin Lip dan Haziq Din Amidin dalam acara compound berpasukan lelaki.

Skuad Sabah juga cemerlang mengutip emas dalam acara recurve berpasukan campuran selepas gandingan Kaitlyn Hannah dan Muhammad Syafiq Busthamin berjaya mengatasi pemanah tuan rumah.

Pingat emas ketiga pula menyusul dalam acara recurve individu lelaki menerusi Alif Anas Arifin manakala pingat perak milik Aimi Zhafran Mohamad (Kedah) dan Muhammad Syafiq meraih pingat gangsa.

Sabah yang turut dibimbing bekas pemanah berpengalaman negara, Kin Lip berjaya mengatasi sasaran satu pingat emas meskipun membariskan muka baharu dan senior.

"Melalui pembabitan pemanah senior, kami cuba merangka program bersesuaian untuk atlet muda dengan gabungan teknologi terkini dan sains sukan dan kami harap kontinjen Sabah dapat mengekalkan prestasi dalam Siri 2 nanti pada 1 April ini sebelum saya memilih skuad terbaik ke Sukan Malaysia (Sukma)," kata jurulatihnya, Charley Chia.

Disiarkan pada: March 9, 2020 @ 9:35pm
d