arena

KL sasar johan Divisyen Dua

Oleh Asrol Awang

PERSATUAN Badminton Kuala Lumpur (KLBA) sasar johan keseluruhan Divisyen Dua Kejohanan Badminton Sirkit Remaja Kebangsaan 100Plus 2020.

Setiausaha KLBA, S Rajoo berkata, sasaran itu bersandarkan persiapan rapi yang dilakukan persatuan itu terutama misi kembali bersaing dalam Divisyen Satu kejohanan itu, tahun depan.

Menurutnya, kejayaan muncul johan keseluruhan Siri Pertama Divisyen Dua di Kuantan kelmarin, diharap membantu meningkatkan keyakinan dan semangat kepada semua pemain.

"Kami perlu kekal konsisten apabila beraksi pada Siri Kedua kejohanan sama yang berlangsung di Perak, Julai depan.

"Saya percaya dengan persembahan mantap dan menggunguli lima kejuaraan daripada 12 kategori pada siri pertama, misi kembali ke Divisyen Satu akan menjadi kenyataan," katanya.

Pada siri pertama yang berlangsung di Dewan Badminton Persatuan Badminton Pahang (PBP), Indera Mahkota, di sini kelmarin, Kuala Lumpur memenangi lima daripada 12 kategori yang dipertandingkan.

Lima kategori itu ialah beregu perempuan bawah 16 tahun, beregu lelaki bawah 14 tahun dan beregu perempuan bawah 12 tahun serta perseorangan perempuan bawah 12 tahun dan perseorangan lelaki bawah 16 tahun.

Selain Kuala Lumpur, Divisyen Dua turut disertai Melaka, Perak, Negeri Sembilan dan Pahang.

Disiarkan pada: March 9, 2020 @ 9:44pm
d