arena

Taruhan basikal RM13juta

Oleh Aida Adilah Mat

KOLOBERASI antara Institut Sukan Negara (ISN) dan syarikat penyelidik Totalsim Ltd berpangkalan di Britain maka terhasillah basikal trek model WX-R Vortex yang direka khas buat pelumba negara dalam misi memburu emas pertama di temasya Olimpik Tokyo 2020.

Melalui proses penyelidikan dan pembangunan (R&D) sejak tiga tahun lalu penghasilan basikal trek Olimpik itu sebenarnya bernilai lebih RM13 juta.

Namun ia boleh didapati di pasaran mengikut syarat termaktub oleh Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) dengan harga RM300,000.

Pada Majlis Pelancaran Basikal Trek Olimpik di ISN semalam, Ketua Pegawai Eksekutif, Ahmad Faedzal Ramli berkata, basikal itu direka khas untuk tiga pelumba negara - Azizulhasni Awang, Muhammad Shah Firdaus Sahrom dan Muhammad Fadhil Zonis dengan proses penyelidikan itu turut disertai oleh pegawai penyelidik ISN, Mohd Izham Mohammad dan Chee Lee Meng.

Menggunakan teknologi terkini dengan karbon dan sistem aerodinamik terbaik itu sudah menarik minat negara Lithuania dan Greece.

“Tiga tahun lalu, kami melihat kejayaan pasukan Britain. Selepas diselidik kejayaan pasukan itu maka kami bertemu Totalsim.

“Kami memikat kerjasama dengan Malaysia dan ISN maka terhasillah produk pertama yang direka bentuk khas untuk pelumba negara bagi memastikan potensi yang dimiliki Azizul dan pelumba lain dapat dioptimumkan dan digerakkan dengan bantuan teknologi sukan,” katanya.

Basikal yang dicipta mengikut kesesuaian ketiga-tiga pelumba itu memiliki ciri karbon lebih keras tapi ringan menggunakan teknologi aerodinamik bagi memastikan rintangan angin lebih rendah seterusnya membolehkan pelumba negara bergerak lebih laju dan pertama kali digunakan di Kejohanan Dunia di Berlin, baru-baru ini.

Disiarkan pada: March 10, 2020 @ 6:00am
d