arena

Henderson sedia kembali perkasa Liverpool

Oleh Agensi

JORDAN Henderson berpeluang cerah mengemudi Liverpool menentang Atletico Madrid dalam aksi peringkat kedua saingan 16 terakhir Liga Juara-Juara pada awal pagi Khamis ini.

Kapten Liverpool itu mengalami kecederaan hamstring pada perlawanan pertama di Sepanyol 18 Februari lalu dan kebiasaannya mengambil masa empat minggu untuk pulih tetapi proses rawatan Henderson berjalan lancar dan menampakkan petanda positif buat The Reds.

Malahan dia boleh berlatih minggu lalu namun pegawai perubatan Liverpool tetap berhati-hati dengan hanya membenarkannya menjalani latihan ringan.

Bagaimanapun, dia melengkapkan sesi latihan di Melwood kelmarin dan semalam. Jika tiada sebarang masalah dalam masa 24 jam, pemain England itu hampir pasti tersenarai dalam skuad.

Liverpool perlu mengatasi defisit 1-0 di Anfield untuk mara ke suku akhir buat kali ketiga berturut-turut dan pengendali Jurgen Klopp pasti lega dengan kehadiran Henderson selepas ketiadaannya menyebabkan persembahan pasukannya hambar dalam beberapa perlawanan terakhir.

Selain itu, pemain yang pasti diturunkan kembali ke dalam kesebelasan utama ialah Andrew Robertson yang terlepas aksi menentang Bournemouth, Sabtu lalu. Adrian akan terus mengawal gawang selepas Alisson dijangka berehat sehingga penghujung bulan ini akibat kecederaan pangkal paha ketika sesi latihan.

Klopp percaya pemainnya sedia untuk respons. “Kami tak boleh membiarkan sahaja masalah kami hadapi dan fikir ia tak boleh berlaku semula,” kata Klopp. “Kami bukan pasukan seperti itu dan kami selalu bekerja keras untuk meraih kejayaan. Saya menyaksikannya pada Sabtu lalu dan saya lebih daripada gembira.”

Disiarkan pada: March 10, 2020 @ 11:19am
d