arena

Sedia beraksi di padang sintetik

Oleh Nazri Abu Bakar

BAGI memastikan prestasi pasukan tidak terjejas, Melaka agresif menjalani latihan di padang rumput tiruan di Kompleks Sukan Rakan Muda Lendu, Alor Gajah menjelang aksi Liga Super bertemu Felda United malam esok.

Penolong pengurus Melaka, Shahrul Nizam Shamsuddin berkata, latihan dua hari sebelum berlepas ke Jengka itu antara lain bagi membiasakan diri dengan keadaan padang rumput tiruan di Stadium Tun Abdul Razak di Jengka yang menjadi venue perlawanan ketiga skuad terbabit.

Menurutnya, persediaan berkenaan penting dalam meningkat keserasian selain membantu menyesuaikan pemain ketika beraksi di venue lawan terutama pergerakan dan kelajuan bola yang berbeza dengan padang rumput biasa.

Katanya, tuan rumah dilihat tidak bermasalah untuk beraksi di laman mereka justeru latihan itu memberi ruang buat pemain memantapkan pergerakan dalam menangani situasi terbabit.

“Memang beraksi di padang berkenaan berbeza dalam banyak aspek terutama situasi keseluruhan yang perlu diperhalusi dan apa yang diharapkan mereka terus positif untuk melakarkan kemenanagan,” katanya.

Sementara itu, kem Hijau Putih berkemungkinan hilang khidmat pemain pertahanan Jang Suk won yang cedera ketika berdepan PDRM di Paya Rumput.

Bagaimanapun, mereka memiliki pemain gantian yang setanding bagi menggalas tugas di posisi berkenaan.

Disiarkan pada: March 10, 2020 @ 7:17pm
d