arena

Praba tak cepat 'koyak'

Oleh Firdaus Hashim

“SAYA tak terkesan dengan kutukan penyokong, sebaliknya saya tekad nak beri aksi terbaik lebih-lebih lagi lawan Terengganu malam esok (malam ini) kalau diturunkan.”

Demikian kata tonggak pertahanan Selangor, K Prabakaran yang menjadi objek serangan berbaur perkauman oleh segelintir penyokong Selangor hingga menimbulkan rasa berang pengendali pasukan, B Sathianathan selepas aksi menentang Perak pada Sabtu lalu.

Jelas pemain berusia 29 tahun itu, fokusnya tidak pernah terganggu malah dia lebih bersemangat untuk membantu pasukan yang kini dalam misi memburu tiga mata apabila bertanding ke Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin di Kuala Terengganu.

“Saya tak hiraukan langsung apa kata penyokong, sebagai pemain profesional kritikan dan cemuhan itu adalah sebahagian daripapad asam garam pemain bola sepak.

“Apa yang saya tahu, selagi pengurusan dan barisan kejurulatihan percaya pada saya, tidak perlu untuk saya berkecil hati dengan penyokong.

“Pihak pengurusan banyak bagi nasihat dan kata-kata semangat, bagi saya ia sudah cukup untuk saya bertambah semangat membantu pasukan musim ini,” katanya ketika dihubungi Arena Metro, semalam.

Terdahulu, Sathianathan berang dalam sidang media selepas anak buahnya seri 1-1 menentang Perak di Stadium Nasional Bukit Jalil, hujung minggu lalu.

Kemarahan bekas jurulatih kebangsaan itu susulan komen tidak bertanggungjawab segelintir penyokong di laman sosial Facebook terhadap Prabakaran dan dirinya yang berbaur perkauman.

Mengulas mengenai persediaan pasukan menjelang aksi ketiga Liga Super menentang skuad Penyu itu, Prabakaran akui suasana pasukan berada dalam motivasi terbaik.

“Semua dah lupakan perlawanan dengan Perak dan jurulatih sudah beri input terbaik untuk kami cari kemenangan ke atas Terengganu,” kata bekas pemain Felda United dan Sime Darby FC itu.

Disiarkan pada: March 11, 2020 @ 6:00am
d