arena

Tok Gajah dapat tonik berharga

Oleh Asrol Awang

JURULATIH Pahang, Dollah Salleh lega kerana anak buahnya berjaya melakar kemenangan pertama dalam saingan Liga Super selepas menewaskan Sabah 2-0, malam tadi.

Bekas pemain kebangsaan itu berkata, tewas dua perlawanan berturut-turut sudah dipadam untuk kembali meletakkan skuad Tok Gajah pada landasan terbaik.

"Saya amat bersyukur kerana kami akhirnya mengutip tiga mata selepas dikecewakan dengan dua kekalahan sebelum ini.

"Kemenangan ini sudah pasti menyuntik semangat buat semua pemain yang diharap tampil dengan lebih yakin pada perlawanan keempat nanti.

"Secara keseluruhannya saya gembira kerana pemain begitu bersemangat untuk mengutip tiga mata dan misi itu berjaya dilakukan," katanya.

Mengulas serangan yang dilakukan Sabah di penghujung perlawanan, Dollah berkata, ia bukannya isu seperti yang dialami ketika tewas kepada Selangor dan PJ City FC.

Sebaliknya, katanya, selepas mendahului 2-0, skuad kendaliannya itu bermain lebih berhati-hati untuk memastikan kemenangan.

"Walaupun sedikit goyah, kita turut memiliki beberapa peluang untuk menambah jaringan tetapi ia gagal diterjemahkan. \

"Tapi saya berterima kasih kepada pemain kerana menamatkan perlawanan dengan tiga mata di laman sendiri," katanya.

Pada perlawanan itu, dua gol Pahang, masing-masing satu dijaringkan Ivan Carlos dan Herold Goulon minit ke-21 dan 50.

Disiarkan pada: March 11, 2020 @ 12:12pm
d