arena

Sazali lega, Sulaiman kecewa

Oleh Mohd Amin Jalil

"ALHAMDULILLAH, akhirnya kita dapat kemenangan yang begitu bermakna selepas tidak bernasib baik dalam dua perlawanan terdahulu," kata ketua jurulatih Negeri Sembilan, Sazali Saidun.

Negeri Sembilan melakar kemenangan sulung dalam saingan Liga Perdana musim ini selepas menewaskan UKM FC, 2-0 dalam aksi di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, malam tadi.

Pengendali berasal dari Johor itu yakin kemenangan yang diraih itu akan dapat meningkatkan moral dan keyakinan anak buahnya untuk meneruskan aksi mantap pada aksi berikutnya.

Katanya, kehadiran semula Almir Neto yang tidak diturunkan dalam dua perlawanan terdahulu kerana kurang cergas ternyata memberi impak positif kepada jentera serangan.

"Pemain memberikan yang terbaik dan saya puas hati dengan persembahan mereka walaupun masih terdapat beberapa kelemahan terutama dari segi hantaran bola," katanya ketika ditemui selepas perlawanan.

Sementara itu, pengendali UKM, Sulaiman Hussin akui kurang puas hati dengan persembahan anak buahnya yang gagal memanfaatkan beberapa peluang terhidang di hadapan gol Negeri Sembilan.

“Saya juga sedikit kecewa dengan persembahan pemain import terutama di bahagian serangan dan pertahanan yang tidak seperti diperagakan dalam aksi sebelum ini.

"Apa pun kekalahan ini menjadi pengajaran buat kami dan akan terus berusaha memperkemaskan lagi jentera pasukan menjelang pertembungan dengan Johor Darul Ta`zim II (JDT II), hujung minggu ini," kata Sulaiman.

Disiarkan pada: March 11, 2020 @ 1:03pm
d