arena

'Saya taklah tua sangat'

Oleh Ferzalfie Fauzi

PERKARA pertama terlintas di fikiran Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican selepas dilantik menjadi Menteri Belia dan Sukan ialah beliau tidak boleh menyertai acara ironman seperti bekas menteri terdahulu, Khairy Jamaluddin Abu Bakar dan Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Bagaimanapun, beliau mengakui pada usia 47 tahun, ia masih belum terlalu tua untuk memegang kementerian berkenaan.

“Begini ceritanya, selepas dilantik pertama sekali saya terfikir adakah saya sudah terlalu tua? Saya sudah 47 tahun tapi muka saya tidak nampak terlalu tua.

“Selepas saya melihat kembali kebanyakkan menteri belia dan sukan di Asia Tenggara ini ada lagi yang tua dari saya. Singapura, 52, Thailand, 54, Jepun dan Korea Selatan 50 lebih. Apa pun saya tidak boleh undur kembali usia saya,” katanya berseloroh.

Beliau berkata, perkara paling penting ialah apa yang mampu disumbangkan untuk memenuhi keperluan kementerian dalam dua bidang iaitu pembangunan belia dan sukan.

“Mengenai pembangunan sukan saya harus bekerja dengan lebih dekat dengan mereka yang terbabit. Apa polisi perlu dibuat, inisiatif perlu diperkenalkan. Tanggungjawab saya adalah membawa kecemerlangan sukan negara, itu komitmen dan janji saya,” katanya.

Ditanya apa perkara pertama yang beliau fikirkan selepas mendapat tahu memegang jawatan Menteri Belia dan Sukan, Reezal menjawab beliau tidak boleh jadi 'ironman'.

“Saya terfikirkan....saya tidak boleh jadi ironman,” jawabnya secara berseloroh.

Bagaimanapun, Reezal mengakui beliau harus menyediakan tanggungjawab yang seimbang antara belia dan sukan.

“Kadang-kadang kebanyakkan menteri beri keutamaan kepada yang tertentu saja, sedangkan perkara utama di sini adalah dua perkara.

“Kerap kali menteri memegang jawatan ini dipersalahkan kerana beri keutamaan lebih kepada sukan. Tanggungjawab saya adalah untuk menggerakkan kedua-duanya dengan seimbang.

“Ini adalah 'rumah' mereka, belia dan juga sukan,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Kabinet baharu |
  • Barisan Kabinet baharu
  • Disiarkan pada: March 11, 2020 @ 8:36pm
    d