arena

Jangan suka-suka tetapkan tarikh

Oleh Ferzalfie Fauzi

TINDAKAN Presiden Jawatankuasa Paralimpik Filipina (PPC), Michael Barredo yang membuat keputusan secara sendiri mengenai tarikh baru Sukan Para ASEAN jelas mengundang kemarahan Majlis Paralimpik Malaysia (MPM).

Menurut Presiden MPM, Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin beliau bersama barisan exco sangat terkejut dengan keputusan berkenaan selepas Filipina menamakan pembawa bendera kontinjen negara itu minggu lalu.

“Kesannya memang ada, tarikh yang dicadang Filipina itu tidak di bawa ke Mesyuarat Persekutuan Sukan Para ASEAN (APSF) dan tidak silap saya ia juga serentak dengan sambutan Hari Raya Aidilfitri ketiga,” katanya pada sidang media hari ini.

Tarikh yang diumum Barredo secara bersendirian itu ialah dari 26 Mei hingga 2 Jun.

“Kita memang perlukan tarikh sebenar tapi kalau seperti ini ia mengejutkan dan kacau persediaan atlet. Disebabkan itu MPM perlukan kepastian. Jadi kita akan bincang bersama Majlis Sukan Negara (MSN) serta mengadakan sidang video bersama APSF minggu depan (Isnin).

“Apa yang mereka buat ini tiada garis panduan dan hitam putih. Sebelum membuat keputusan kita perlu adakan mesyuarat terlebih dulu. Sekarang ini yang memberi respons berkenaan hal ini ialah Singapura dan Malaysia.

“Kalau secara peribadi saya tidak setuju, tarikh bertindih dengan sambutan Aidilfitri, banyak perancangan dibuat pihak persatuan dan atlet. Tidak adil pilih tarikh tanpa mesyuarat, ini yang MPM ingin tekankan,” katanya.

Disiarkan pada: March 11, 2020 @ 9:12pm
d