arena

Nidzam gembira, Zainal berduka

Oleh Asrol Awang

PENGENDALI Felda United FC, Mohd Nidzam Jamil mengakui cemas ketika kelab itu mencatat kemenangan 3-2 ke atas Melaka United di Stadium Tun Abdul Razak, Jengka, Maran, malam tadi.

Bekas pemain kebangsaan itu berkata, ini kerana keadaan cemas itu berlaku pada 10 minit terakhir perlawanan selepas lawan melakukan kebangkitan luar biasa.

"Namun, saya bersyukur kerana semua pemain berjaya mengawal permainan biarpun lawan berjaya menjaringkan dua gol di penghujung perlawanan.

"Saya akui tidak gembira dengan dua gol yang dibolosi ketika selesa mendahului 3-0 tetapi kemenangan yang diraih ini cukup bermakna buat pasukan.

"Oleh itu, segala kekurangan yang dipersembahkan malam ini akan cuba diperbaiki untuk memastikan prestasi The Fighters kekal konsisten," katanya.

The Fighters memperoleh dua jaringan sumbangan Nicolas Velez pada minit ketujuh dan 63 dan satu gol oleh Khairul Amri Kamal (m-15) manakala dua gol Melaka, masing-masing satu oleh Romel Morales (m-81) dan Uche Agba (m-88).

Sementara itu, pengendali Melaka United, Zainal Abidin Hassan kecewa dengan prestasi skuadnya yang gagal meneruskan momentum kemenangan.

Katanya, biarpun berjaya melakukan kebangkitan dan mendapat dua gol, ia sudah terlambat ketika lawan berusaha mengekalkan kelebihan yang dimiliki.

Disiarkan pada: March 12, 2020 @ 10:49am
d