arena

Lega prestasi pemain

Oleh Malik Muhamad

PENGENDALI Terengganu FC (TFC), Nafuzi Zain gembira dengan semangat juang tinggi pemainnya yang berjaya bangkit daripada ketinggalan sebelum mengutip satu mata bertemu Selangor di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin malam tadi.

Malah sikap tidak berputus asa pemain beraksi bersungguh-sungguh hingga ke tiupan wisel terakhir turut mendapat pujian daripada pengendali muda itu.

Beliau merumuskan keputusan 3-3 adalah adil selepas pasukannya terpaksa beraksi dengan sepuluh pemain pada sebelas minit terakhir apabila pemainnya tengahnya, Azalinullah Mohd Alias diperintah keluar padang kerana menerima kad kuning kedua.

TFC memperoleh jaringan menerusi kapten, Lee Tuck, Sanjar Shaakhmedov dan Mohammad Rahmat Makasuf manakala tiga gol pasukan Red Giants disumbangkan penyerang berbisa Ifedayo Olusegon, Khyril Muhymeen Zambri dan Brendan Gan.

Bagaimanapun Nafuzi akui pasukannya berhak mendapat tiga mata penuh berdasarkan corak permainan yang diperagakan apabila mencipta banyak peluang, namun penyudah tumpul membuatkan skuadnya sekadar berpuas hati dengan satu mata.

"Dari segi permainan saya berpuas hati dengan pemain berjaya mendominasi perlawanan dari awal hingga tamat, cuma kesilapan terbesar kita adalah menghadiahkan gol mudah kepada pasukan lawan.

"Ketiga-tiga gol lawan adalah melalui situasi 'set-piece', namun barisan pertahanan harus dipuji sebab pemain beraksi dengan baik berbanding aksi berdepan Kedah lalu, walaupun bolos tiga gol.

"Lagipun bukan mudah buat pemain untuk menjaringkan gol penyamaan selepas ketinggalan serta melepaskan gol mudah, tapi karakter yang ditunjukkan pemain biarpun pada satu ketika beraksi dengan sepuluh pemain harus dipuji daripada kita tewas di tempat sendiri kerana Selangor bukannya pasukan yang senang untuk ditewaskan.

"Bagi saya TFC berhak mendapat tiga mata dengan cara permainan yang ditunjukkan,” kata Nafuzi.

Disiarkan pada: March 12, 2020 @ 1:00pm
d