arena

Liverpool rugi RM161 juta angkara Atletico

Oleh Agensi

KEGAGALAN Liverpool melepasi peringkat 16 Liga Juara-Juara buat kali pertama dalam tempoh tiga tahun menyebabkan mereka kehilangan lebih £30 juta (RM161 juta).

Jurgen Klopp menang semua 10 perlawanan kalah mati sebagai pengurus Liverpool dan meraih ganjaran lumayan selepas mara ke final Liga Juara-Juara 2018 dan menjuarainya 12 bulan lalu.

Mereka mengaut £54.7 juta (RM294 juta) selepas menewaskan Tottenham pada Jun lalu tetapi tersingkir pada peringkat pertama kalah mati memberi impak besar - tahun lalu mereka meraih jumlah keseluruhan £31.1 juta (RM167 juta) selepas menewaskan Bayern Munich, Porto dan Barcelona dalam laluan ke Madrid.

Liverpool berdepan bulan paling sukar dalam kempen musim ini dengan Atletico Madrid menewaskan mereka di tempat sendiri dan lawan dalam saingan Liga Juara-Juara. Chelsea pula menyingkirkan mereka dalam saingan Piala FA manakala Watford meleburkan rekod tanpa kalah The Reds dalam aksi liga.

Namun, Liverpool hanya enam mata lagi daripada menjulang trofi domestik pertama sejak 1990 dan Virgil van Dijk menegaskan kekecewaan mereka di Eropah tidak berpanjangan.

“Kami bercakap mengenai enam mata,” kata Van Dijk. “Tetapi kami menentang Everton di tempat lawan yang dijangka sukar dan Crystal Palace di tempat sendiri, lawan sangat liat diatasi dan selepas itu City. Apa sahaja boleh berlaku tetapi kami perlu kekal yakin.”

Disiarkan pada: March 13, 2020 @ 11:13am
d