arena

Bukan Covid-19, tapi penangguhan disebab stadium

Oleh Malik Muhamad & Syazwan Msar

BUKAN kerana wabak Covid-19 yang semakin menular, tetapi penangguhan perlawanan membabitkan pertemuan PJ City FC dengan Terengganu FC (TFC) yang dijadualkan pada malam esok adalah disebabkan tuan rumah gagal menamakan stadium bagi perlawanan itu.

Melalui sepucuk surat yang dihantar Liga Bolasepak Malaysia (MFL) kepada Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Negeri Terengganu (PBSNT), Datuk Tengku Farok Hussin Tengku Abdul Jalil bertarikh 12 Mac 2020, badan induk itu bersetuju meluluskan permohonan PBSNT untuk menangguhkan perlawanan itu.

“Adalah dimaklumkan bahawa MFL bersetuju meluluskan permohonan untuk menangguhkan perlawanan itu selepas MFL mendapati PJ City sehingga hari ini (semalam) masih gagal menamakan ‘venue’ bagi perlawanan berkenaan.

“Gelanggang tuan rumah bagi pasukan PJ City iaitu Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya masih lagi tidak dapat digunakan kerana kerja-kerja baik pulih padang dan bilik persalinan masih belum siap sepenuhnya.”

“Pasukan PJ City berusaha untuk mendapatkan ‘venue’ alternatif, namun semua ‘venue’ di Lembah Klang terlebih dahulu ditempah oleh pasukan lain bagi perlawanan Liga Super dan Liga Perdana 2020,” katanya

Sehubungan itu, MFL memutuskan perlawanan Liga Super antara pasukan PJ City melawan Terengganu FC ditangguhkan ke tarikh lain yang akan diumumkan kelak,” demikian menurut surat berkenaan yang ditandatangani Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Datuk Ab Ghani Hassan.

MFL mengesahkan pihaknya sudah meluluskan permohonan daripada PBSNT untuk menunda aksi keempat Liga Super antara PJ City FC dan TFC yang sepatutnya berlangsung esok.

Keputusan itu dibuat selepas MFL mengadakan perbincangan dengan TFC dan PJ City bagi memastikan perlawanan berjalan seperti biasa namun selepas pelbagai usaha dilakukan, masalah venue perlawanan masih tidak dapat diselesaikan.

Cadangan untuk menukar venue perlawanan ke Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin di Kuala Terengganu dengan TFC menjadi pasukan tuan rumah pula tidak dapat dilakukan berikutan pasukan TFC sudah membuat tempahan tiket penerbangan dan penginapan bagi menghadapi perlawanan berkenaan.

Di sebalik penangguhan perlawanan itu, MFL menegaskan PJ City tetap dikenakan hukuman ekoran kegagalan menyediakan venue sebelum bentuk hukuman mereka akan ditentukan dalam Mesyuarat Ahli Lembaga Pengarah MFL pada masa terdekat.

“PJ City FC berusaha untuk mencari venue di sekitar Lembah Klang dengan memohon bermain di Stadium Majlis Perbandaran Selayang, Stadium UiTM dan termasuk di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi tetapi malangnya tiada jalan penyelesaian.

“MFL membuat keputusan ini dalam mesyuarat semalam untuk menunda perlawanan PJ City FC dan Terengganu selepas mengadakan perbincangan bersama kedua-dua pasukan ini.

“Justeru, MFL menjadi medium orang tengah untuk menyelesaikan masalah ini tetapi kecuaian PJ Citygagal menyediakan venue tetap akan dikenakan hukuman di mana perkara ini akan dibawa ke Ahli Lembaga Pengarah MFL untuk diputuskan,” kata MFL dalam satu kenyataan

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: March 13, 2020 @ 8:47pm
    d