arena

Misi sukar Kedah beraksi tanpa penyokong

Oleh Izzali Ismail

KETUA jurulatih Kedah Aidil Sharin Sahak menganggap misi sukar perlu ditempuhi skuadnya apabila turun beraksi tanpa gema sorakan penyokong Lang Merah untuk aksi menentang Selangor pada perlawanan Liga Super di Stadium Darul Aman Ahad ini.

Pengumuman oleh Presiden Liga Bolasepak Malaysia (MFL) Datuk Hamidin Mohd Amin mengenai perlawanan Liga Super melibatkan Kedah yang akan berlangsung tanpa kehadiran penonton Ahad ini ternyata memberi cabaran besar buat skuad Lang Merah yang pastinya akan merindui laungan serta sorakan daripada pemain ke-12.

Selepas mengharungi tiga perlawanan awal tanpa kemenangan, pastinya pertemuan pada aksi hujung minggu ini untuk memburu kemenangan buat skuad Hijau Kuning yang kini menghuni tangga ke-10.

Menurut Aidil, pihaknya menghormati keputusan yang diumumkan oleh pihak MFL mengenai ancaman Covid-19 yang kini semakin seruis dan apa yang diputuskan itu adalah untuk kepentingan semua.”

“Jadi pada perlawanan menentang Selangor ini, saya tetap mengganggapnya satu aksi yang sukar dan ditambah pula dengan ketiadaan penyokong yang selama ini memberi kekuatan tambahan buat pemain dalam apa jua keputusan yang kami lalui setakat ini.

“Kita tahu ini satu perlawanan yang penting untuk Kedah mendapatkan tiga mata di laman sendiri, dan dengan semangat juang yang ada pada semua pemain saya berharap dan percaya Kedah mampu bangkit kembali mendapatkan tiga mata yang dicari sejak bermulanya Liga Super.” katanya.

Sementara itu, Ketua Jurucakap Gabungan Ukhwah Lang Merah (GULM) Mohd Safarizal Mohd Sobri merasa kecewa apabila hasrat puluhan ribu penyokong Kedah yang sudah merancang menyaksikan perlawanan besar antara Kedah dan Selangor didepan mata pada awal musim ini tidak menjadi kenyataan.

“Apa boleh buat, kami kempunan untuk hadir memberi sokongan padu kepada skuad Lang Merah, tambahan pula disaat Kedah memerlukan suntikan semangat bagi mendapatkan tiga mata penuh selepas gagal berbuat demikian pada tiga perlawanan sebelum ini.

“Kami tetap akur dan menghormati keputusan yang umumkan pihak MFL yang memutuskan perlawanan ini tanpa kehadiran penyokong atas faktor kesihatan.

“Kami harap pemain Kedah dapat terus fokus dan tenang dengan apa yang berlaku dan kami yakin pemain dapat bangkit beraksi dengan penuh semangat dalam apa cabaran sekalipun untuk memburu tiga mata kemenangan pertama Liga Super musim ini.” katanya.

Kedah kini menduduki tangga ke-10 dengan menguitp satu mata selepas mengharungi dua kekalahan dan satu keputusan seri.

Disiarkan pada: March 13, 2020 @ 11:26pm
d