arena

Tok Gajah sasar tiga mata

Oleh Asrol Awang

PAHANG yang mendapat tonik kemenangan pertama dalam saingan Liga Super Selasa lalu, mahu meneruskan momentum itu apabila berdepan Melaka United di Stadium Hang Jebat, Paya Rumput, hari ini.

Biarpun beraksi tanpa penonton susulan kebimbangan penularan wabak Covid-19, skuad kendalian Dollah Salleh itu menggangap ia satu kelebihan untuk melakar kemenangan kedua.

Bagi pengurus Tok Gajah, Datuk Mohammed Suffian Awang, skuad itu tidak boleh lagi ketinggalan dalam mengutip tiga mata di tempat lawan.

“Dua kekalahan bertutur-turut sebelum bangkit meraih kemenangan memerlukan komitmen tinggi semua pemain untuk kekal konsisten biarpun sedar saingan getir bakal dihadapi.

“Lebih-lebih lagi, Melaka dikejutkan dengan kekalahan 2-3 kepada FELDA United FC dan sudah pasti mereka mahu menebus kekecewan itu di laman sendiri.

“Mahu atau tidak Pahang tidak boleh terlepas mata kerana saingan daripada pasukan teratas semakin getir biarpun bermain tanpa kehadiran penonton,” katanya.

Justeru, beliau mahu kesebelasan utama yang diturunkan dapat bermain dengan lebih baik terutama memastikan bahagian pertahanan lebih kental. Katanya, kemenangan 2-0 ke atas Sabah Selasa lalu, diharap menjadi sumber inspirasi untuk tampil lebih yakin dan menggentarkan lawan.

“Sentuhan jaringan Ivan Carlos yang sudah menjaringkan tiga gol dalam tiga perlawanan terus ditagih sambil dibantu pemain lain.

“Saya percaya jika prestasi konsisten dan kekal fokus sepanjang 90 minit perlawanan, tiga mata akan menjadi milik skuad Tok Gajah,” katanya.

Disiarkan pada: March 14, 2020 @ 1:04am
d