arena

Persiapan atlet terkesan - Reezal Merican

Oleh BERNAMA

PERSIAPAN atlet Malaysia terkesan akibat pembatalan dan penangguhan kejohanan sukan di dalam dan luar negara, berikutan penularan Covid-19.

Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, setakat ini 12 atlet negara berjaya melayakkan diri ke Sukan Olimpik Tokyo 2020.

“Sudah tentu ia memberi kesan perancangan program sukan, khususnya yang membabitkan proses kelayakan ke temasya Sukan Olimpik Tokyo 2020, di mana banyak pertandingan dibatalkan,” katanya.

Reezal Merican berkata masih terdapat seramai 23 atlet, yang sedang berusaha untuk melayakkan diri ke Olimpik.

“Bukan saja atlet Malaysia, malahan seluruh dunia terkesan dengan persiapan mereka, kerana kebanyakan akan berada pada prestasi terbaik semasa kejohanan-kejohanan yang ditunda itu.

“Jadi, sekarang mereka terpaksa buat perubahan semula program latihan mereka untuk mencapai prestasi terbaik pada kejohanan yang lain, tetapi masalah baru pula ialah ketidaktentuan bila pula kejohanan yang akan datang, akan berlangsung,” katanya.

Beliau akan melawat Majlis Sukan Negara (MSN) minggu depan, untuk mendapatkan taklimat berhubung persiapan atlet ini.

“Saya akan dapat perkembangan terbaru mengenai persiapan atlet, sebelum saya membuat apa-apa tindakan,” katanya.

Sementara itu, Reezal Merican yang juga Anggota Parlimen Kepala Batas berkata tiga pemain hoki negara yang menghadiri yang menghadiri Ijtimak Tabligh di Masjid Seri Petaling, Kuala Lumpur baru-baru ini, sudah menjalani saringan di Hospital Kuala Lumpur (HKL) pagi semalam.

Keputusan saringan mereka negatif, namun dinasihatkan untuk kuarantin di rumah selama tujuh hari.

“Mereka tidak mengalami sebarang simptom dan dibenarkan balik ke rumah. Namun sebagai langkah berjaga-jaga, mereka perlu di kuarantin seminggu di rumah, sebelum kesihatan mereka diperiksa semula,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: March 15, 2020 @ 1:38am
    d