arena

Mora bengang Harimau Selatan tak 'mengaum'

Oleh Rizar Mohd Noor

TERLEPAS meraih kemenangan keempat berturut-turut sememangnya perit ditelan Johor Darul Ta'zim (JDT) yang berstatus juara bertahan selepas hanya mampu seri 1-1 dengan Felda United pada aksi Liga Super, di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, semalam.

Semua serba tidak menjadi buat Harimau Selatan yang bagaikan terperangkap dengan helah skuad The Fighters sehingga mampu menidakkan tiga mata diimpikan skuad kendalian Benjamin Mora.

Malah Mora sendiri mangakui ia bukan malam JDT tatkala gagal beraksi dengan permainan konsisten sehingga memberi ruang buat Felda United mencipta keputusan seri.

"Apabila kami tidak beraksi seperti biasa, maka kami akan dihukum dan ia terjadi dalam perlawanan menentang Felda United. Walaupun kami mengawal perlawanan dan beri tekanan kepada lawan tapi gagal menjaring gol.

"Jika tidak jaringkan gol dalam permainan bola sepak, apabila berlaku kesilapan tentunya kita akan dihukum. Tiada lagi alasan kenapa kami tidak mendapat tiga mata. Apa saya lihat, beberapa kelemahan perlu diperkemaskan lagi terutama pemain harus bijak membuat keputusan dalam situasi yang penting.

"Perlu perkemaskan lagi barisan serangan yang kurang berkesan agar lebih efisien dan bijak menghidu peluang menjaringkan gol. Malah dalam perlawanan itu juga pemain tidak memberi tekanan 100 peratus berbanding tiga aksi lalu," katanya.

Dalam perlawanan itu, JDT yang turun beraksi tanpa kehadiran penyokong susulan wabak koronavirus (Covid-19), anak didik Mora terlebih dahulu di depan pada minit ke-21 hasil jaringan Syafiq Ahmad.

Namun jaringan itu tidak bertahan lama selepas Felda United bangkit menyamakan jaringan menerusi pemain import, Frederik Bulot pada minit ke-51. Tuan rumah terlepas peluang menambah jaringan namun penalti Gonzalo Cabrera berjaya diselamatkan penjaga gol pelawat, Mohd Muhaimin Mohamad.

Disiarkan pada: March 15, 2020 @ 10:57am
d