arena

Pengalaman berguna Zii Jia

Oleh Ferzalfie Fauzi

MARA sehingga ke separuh akhir Seluruh England adalah pengalaman baru buat perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia sebelum ditunjukkan jalan keluar oleh Viktor Axelsen semalam.

Menurut pemain berusia 23 tahun itu, secara keseluruhan apa yang dilaluinya di Arena Birmingham membuka matanya selain menambah pengalaman.

"Walaupun tewas, saya dan Axelsen sudah bersaing sengit untuk membuktikan siapa saja boleh menang seterusnya mara ke final," katanya ketika dihubungi Arena Metro hari ini.

Pemain kelahiran Alor Setar, Kedah itu berkata, dia akan terus mengorak langkah ke depan dan akui banyak lagi perlu dilakukannya.

"Saya perlu bekerja keras untuk mempersiapkan diri supaya lebih bertenang dan mempunyai keazaman tinggi ketika di saat genting dalam mana-mana perlawanan. Apa yang penting saya harus kekal fokus dan sentiasa berada pada landasan terbaik," kata pemain nombor 13 dunia itu.

Semalam, ketua jurulatih perseorangan lelaki negara, Hendrawan mengakui Zii Jia sudah memberikan aksi terbaik di separuh akhir Seluruh England walaupun tumbang di tangan Axelsen.

Beliau mengakui bahawa perjalanan Zii Jia masih panjang dan setakat ini berada di landasan tepat. Beberapa kesilapan di saat genting menyaksikan pemenang pingat gangsa Kejohanan Remaja Dunia 2016 itu meninggalkan Arena Birmingham dengan kekalahan 17-21, 21-13, 21-19.

Disiarkan pada: March 15, 2020 @ 1:02pm
d