arena

UiTM, Kedah catat kemenangan sulung

Oleh Syazwan Msar

PENDATANG baharu Liga Super, UiTM mula menunjukkan taring mereka apabila berjaya membenam PDRM 3-1 dalam saingan Liga Super di Stadium UiTM, Shah Alam, sebentar tadi.

Kemenangan terbabit sudah tentu meniup semangat anak buah Frank Bernhardt yang sebelum ini mencatatkan keputusan tewas kepada Johor Darul Ta’zim (JDT) sebelum seri bertemu Kedah pada aksi lalu.

UiTM tidak perlu menunggu lama untuk menyumbat gol pembukaan apabila Rabih Ataya berjaya mengegarkan gol lawan seawal minit ke 11 untuk kedudukan 1-0.

Tuan rumah terus melebarkan jarak apabila dihadiahkan penalti dua minit sebelum separuh masa pertama tamat dengan pemain import mereka Gustavo Almeida tenang menyempurnakan sepakan terbabit.

Separuh masa kedua pula menyaksikan skuad kendalian Mohamad Ishak Kunju Mohamad cuba mengatur serangan bagi mencari gol pertama PDRM.

Namun, segalanya serba tidak kena apabila serangan berjaya dipatahkan pertahanan lawan malah tuan rumah menambah derita pelawat menerusi jaringan ketiga menerusi pemain gantian Zulkiffli Zakaria pada minit 83.

PDRM pula berjaya memperoleh gol saguhati pada masa tambahan separuh masa kedua dan kedudukan 3-1 kekal hingga tamat perlawanan.

Sementara itu, di Stadium Darul Aman menyaksikan skuad B Sathiananthan ‘gigit jari’ apabila tewas kepada Kedah dengan jaringan 2-0.

Walaupun beraksi tanpa penyokong, skuad kendalian Aidil Sharin Sahak tetap gah mengawal perlawanan apabila berjaya menyumbat dua gol masing-masing menerusi Renan Alves dan Kpah Sherman pada separuh masa pertama.

Selangor yang cuba mengatur serangan tetap gagal menembus barisan benteng Kedah sekali gus menyaksikan keputusan 2-0 kekal hingga tamat perlawanan.

Disiarkan pada: March 16, 2020 @ 12:35am
d