arena

'Tak payah berkumpul luar stadium'

Oleh Syazwan Msar

SILA patuhi arahan demi keselamatan semua. Ketua Pegawai Eksekutif Liga Bolasepak Malaysia (MFL) Datuk Ab Ghani Hassan berkata, pematuhan arahan itu penting sejajar dengan peringatan yang dikeluarkan Kementerian Kesihatan (KKM) supaya segala perhimpunan atau aktiviti ditangguhkan pada masa ini.

Beliau sedia maklum mengenai tersebar video dan laporan sekumpulan peminat yang didakwa penyokong Johor Darul Ta’zim (JDT) tetap berkumpul di luar Stadium Sultan Ibrahim pada aksi Liga Super berdepan Felda United, kelmarin ketika kebimbangan mengenai penularan Covid-19 masih belum reda.

“Namun, MFL tidak boleh mengambil apa-apa tindakan ke atas penyokong yang masih berdegil hadir ke stadium walaupun perlawanan Liga Malaysia (Liga M) minggu ini diadakan dalam stadium kosong.

“MFL berharap arahan ini diambil peduli oleh mereka (penyokong) kerana kita tak mahu ada di antara mereka nanti dijangkiti Covid-19 dan jangan membabitkan diri dalam penularan virus ini.

“Berkumpulan di luar (stadium) itu berbahaya dan kita tak boleh ambil apa-apa tindakan. Cuma kita berharap pihak berkuasa boleh meleraikan sebarang perhimpunan di luar stadium,” katanya, di sini, semalam.

Jumaat lalu, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan MFL memutuskan aksi minggu ini dilangsungkan tanpa penyokong selain semua kejohanan di bawah kelolaan mereka akan ditangguh bermula, hari ini.

Selain itu, Ab Ghani menjelaskan pemeriksaan ketat dilakukan ke atas individu yang bertugas dalam perlawanan minggu ini.

“MFL membuat perlawanan (minggu ini) dalam stadium kosong melainkan mereka yang bertugas, itu pun dihadkan jumlahnya.

“Petugas itu juga diperiksa suhu badan mereka dan diberi sanitizer (pencuci tangan) sebelum dibenarkan masuk ke stadium,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: March 16, 2020 @ 6:00am
    d