arena

Juventus tak rela kehilangan Ronaldo

Oleh Agensi

JUVENTUS dilapor mahu melanjutkan kontrak Cristiano Ronaldo dua tahun lagi sekali gus kekal di Turin melepasi ulang tahun kelahiran ke-39.

Bekas superstar Manchester United dan Real Madrid itu tamat kontrak pada Jun 2022 dengan Juventus berharap dapat meyakinkan Ronaldo untuk terus komited di Turin.

MenurutTuttosport, Juventus tak rela kehilangan aset utama mereka dan percaya Ronaldo kini lebih terpengaruh dengan keputusan perlawanan berbanding gaji.

Selepas menandatangani kontrak £500,000 (RM2.64 juta) seminggu selama empat tahun bersama Juventus pada 2018, Ronaldo muncul nadi utama kelab dan kunci kepada kejayaan kempen Liga Juara-Juara.

Ronaldo merai hari jadi ke-35 bulan lalu tetapi terus mengekalkan momentum dengan ledakan jaringan pada tahap tertinggi di Itali. Bintang Portugal itu kini menjaringkan 25 gol dalam 32 penampilan termasuk 21 gol dalam 22 aksi Serie A.

Dia menggegar gawang lawan dalam 11 perlawanan berturut-turut sekali gus menunjukkan kepentingannya kepada skuad Maurizio Sarri.

Laporan itu turut menyebut Juventus berhasrat memperkasakan lagi jentera serangan dengan bintang Liga Perdana, Harry Kane dan Gabriel Jesus termasuk dalam senarai dikehendaki selain penyerang Paris Saint-Germain, Mauro Icardi dan pemain Red Bull Leipzig, Timo Werner.

Juventus percaya dengan membawa masuk penyerang lain membuktikan mereka serius mencipta lebih banyak kejayaan yang mampu menarik minat Ronaldo untuk terus kekal bersama gergasi Serie A itu.

Disiarkan pada: March 16, 2020 @ 10:33am
d