arena

Pengurusan mahu Melaka bangkit

Oleh Nazri Abu Bakar

PENGURUSAN Melaka kecewa selepas skuad terbabit gagal meraih sebarang mata ketika aksi Liga Super berdepan Pahang di gelanggang sendiri kelmarin.

Penolong pengurus skuad terbabit, Syahrul Nizam Shamsuddin berkata, kegagalan meraih sekurang-kurangnya satu mata sememangnya mengecewakan.

Katanya, ianya lebih ketara selepas deretan peluang terhidang gagal diterjemah dengan jaringan walaupun peratus amat tinggi untuk meraih sekurang- kurangnya satu mata di tempat sendiri.

“Corak permaianan agak baik dengan komitmen tinggi semua pemain termasuk Sony Norde namun penyudahan kurang tajam menjadi antara faktor kekalahan berkenaan.

“Situasi bertambah parah apabila pelawat berjaya menyempurnakan peluang menerusi jaringan Dickson Nwakaeme sekali gus memisahkan keputusan perlawanan yang dijangka berakhir seri tanpa jaringan,”katanya.

Sehubungan itu, barisan hadapan di ketuai Uche Agba diminta memperbaiki sentuhan ketika di muka gawang dalam usaha meledak jaringan pada setiap aksi selepas ini.

Baginya, terlalu mengambil masa untuk benar- benar berada di dalam kedudukan terbaik melakukan penyudahan juga antara faktor gawang lawan gagal dibocori dengan peluang yang hadir terlepas begitu sahaja.

Menurutnya, dia yakin tempoh rehat panjang selepas penangguhan liga akibat wabak Covid-19 diharap menjadi pemangkin kepada ketua jurulatih Zainal Abidin Hassan memperbaiki keupayaan pemain.

Malah dalam masa sama semua pemain diharap mampu memperbaiki teknik penyudahan berkesan dalam misi tidak terlepas sebarang mata pada baki liga pusingan pertama kelak.

Disiarkan pada: March 17, 2020 @ 12:33am
d