arena

Jurulatih bola sepak maut akibat Covid-19

Oleh Agensi

JURULATIH bola sepak berusia 21 tahun di Sepanyol, Francisco Garcia meninggal dunia disebabkan wabak Covid-19.

Doktor juga mengesahkan Garcia yang melatih skuad remaja kelab Atletico Portada Alta di Malaga, menghidap leukemia.

Garcia dikejarkan ke hospital selepas mempunyai simptom penyakit berkenaan.

Bagaimanapun, ketika dia tiba di hospital doktor mengesahkan bahawa Garcia menghidap kanser.

Doktor mengesahkan Garcia mungkin boleh selamat jika tidak mempunyai sebarang tanda-tanda awal penyakit kronik.

Sepanyol mengumumkan perintah berkurung di hampir seluruh negara berkenaan minggu lalu sebagai langkah penyekat penularan wabak berkenaan.

Mereka adalah negara Eropah kedua paling teruk selepas dengan mencatat 8,000 kes dan 297 kematian.

Garcia dipercayai adalah mangsa paling muda dan kelima di wilayah Malaga meninggal dunia akibat wabak itu.

Akhbar Sepanyol, El Mundo melaporkan, sebelum ini Garcia tidak mengetahui mempunyai penyakit leukemia sehinggalah dia di bawa ke hospital kerana simptom koronavirus.

“Dia ke hospital kerana menyangkakan dia mengalami demam panas namun mereka dapat mengesan dia menghidap radang paru-paru.

“Doktor melakukan pelbagai ujian untuk mengesahkan sama ada dia positif koronavirus, namun dalam masa sama dia juga menghidap leukemia. Dia bertarung nyawa beberapa hari dan akhirnya meninggal dunia kelmarin,” kata sumber kepada akhbar berkenaan.

Pasukannya memberi penghormatan terakhir dengan membuat pengumuman di media sosial.

“Kami dari Atletico Portada Alta ingin mengucapkan takziah kepada keluarga, rakan-rakan dan saudara-mara jurulatih Francisco Garcia yang meninggalkan kita semua,” jelas kelab berkenaan.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: March 17, 2020 @ 1:46am
    d