arena

Zii Jia 10 terbaik dunia

Oleh Saiful Affendy Sapran

IMPIAN pemain perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia untuk menghuni kelompok 10 pemain terbaik dunia akhirnya tercapai.

Menerusi kemaskini terbaru oleh Persekutuan Badminton Dunia (BWF), pemain berusia 22 tahun itu kini menduduki ranking ke-10, naik tiga anak tangga berbanding kedudukan ke-13 sebelum ini.

Kejayaan itu pastinya hasil daripada kemaraannya mara ke separuh akhir saingan Seluruh England di Birmingham minggu lalu.

Zii Jia mempamerkan prestasi cemerlang pada penampilan pertamanya di kejohanan berprestij itu sebelum terpaksa akur tewas di tangan bekas juara dunia dari Denmark, Viktor Axelsen di separuh akhir yang turut muncul juara edisi kali ini.

Pengarah Kejurulatihan Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Wong Choong Hann mengakui Zii Jia semakin menunjukkan kematangan di dalam permainannya.

“Dia menunjukkan peningkatan yang mendadak di dalam permainannya selain melangkah ke satu tahap ketinggian yang baru.

“Prestasi di Seluruh England menjadi rujukan kepadanya pada masa depan. Kami hanya berharap Zii Jia terus bertenang, fokus dan memajukan dirinya daripada kejayaan terbaru ini.

“Dia juga perlu lebih rajin dan berusaha memperbaiki segala kekurangan di dalam permainannya,” katanya.

Zii Jia ketika ini bersama 13 lagi pemain dan enam jurulatih negara yang terbabit dalam saingan Seluruh England sedang melalui proses kuarantin selama 14 hari di Akademi Badminton Malaysia (ABM) di Bukit Kiara bagi mencegah penularan wabak koronavirus baharu (Covid-19).

Disiarkan pada: March 17, 2020 @ 7:25pm
d