arena

Covid-19: MSN, ISN ditutup

Oleh Firdaus Hashim

SERAMAI 37 atlet dan 10 pegawai terpaksa dikuarantin bermula hari ini selepas atlet olahraga negara, Jackie Wong didapati positif Covid-19 sekali gus muncul sebagai atlet pertama Malaysia yang terkena jangkitan virus itu.

Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Ahmad Shapawi Ismail berkata, bagi memastikan proses kuarantin itu berjaya, pihaknya memutuskan untuk menutup semua operasi MSN dan Institut Sukan Negara (ISN) di Bukit Jalil termasuk beberapa pusat latihan di seluruh negara mulai hari ini.

Katanya, langkah penutupan bangunan MSN dan ISN itu bagi membolehkan pihaknya menjalankan proses sanitasi di semua tempat yang pernah Jackie singgah sekali gus menyaksikan semua atlet di arah meninggalkan asrama, pusat latihan dan kompleks pentadbiran sukan negara itu.

“Seramai 37 atlet dan 10 orang pegawai yang dikenalpasti pernah mempunyai kontak dengan atlet yang dijangkiti sudah pun dikuarantin bermula semalam dan hari ini, mereka akan menjalani pemeriksaan lanjut.

“Atlet-atlet ini akan dikuarintin di tingkat 6, Casa 1 untuk tujuan pemantauan manakala pegawai pula melalui 'self quarantine'.

“Sekiranya didapati mereka negatif dalam pemeriksaan perubatan hari ini, kumpulan ini akan dibenarkan pulang esok bagi membolehkan proses sanitasi dilakukan oleh pihak ISN di semua tempat-tenpat yang kita sudah kenal pasti pernah disinggahi oleh Jackie.

“Antara kawasan yang akan di santiasi seperti biliknya di asrama MSN, gimnasium dan kafe di mana tempat dia mendapatkan makanan. Tindakan kita ini selari dengan apa yang disarankan KKM (Kementerian Kesihatan Malaysia) selepas seorang atlet disahkan positif Covid-19,” katanya ketika ditemui di MSN, hari ini.

Selain bangunan MSN dan ISN, beberapa pusat latihan lain turut ditutup termasuk Akademi Mokhtar Dahari di Gambang, Pahang, Akademi Badminton Malaysia di Bukit Kiara, Kolej Keenam Universiti Putra Malaysia dan Pusat kecemerlangan Paralimpik Kampung Pandan.

Malah, dua lagi pusat mengalami nasib sama iaitu Kompleks MSN Taman Keramat serta Pusat Latihan Perahu Layar Kebangsaan MSN di Langkawi, Kedah yang diarahkan tutup sepenuhnya.


  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: March 17, 2020 @ 7:46pm
    d