arena

Siapa presiden MUSA?

Oleh Nazri Abu Bakar

BEBERAPA nama dikaitkan bakal memegang jawatan Presiden Persatuan Bolasepak Melaka (MUSA) jika Ketua Menteri (KM) Datuk Sulaiman Md Ali menolak mengetuai persatuan itu.

Mengikut perlembagaan MUSA, presiden automatik disandang Ketua Menteri (KM) atau mereka yang dinamakan oleh KM bagi menggalas tugasan berkenaan.

Sumber dalaman persatuan terbabit berkata, kemungkinan besar KM tidak memegang jawatan terbabit berikutan terlalu sibuk dengan tugasan dan jadual ketat pentadbiran negeri.

Katanya, antara nama yang layak termasuk Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Datuk Wira Mohd Yusoff Mahadi dan exco MUSA, Datuk Mohd Saiful Mat Sapri.

Manakala Damian Yeo yang dinamakan oleh mantan KM, Adly Zahari sebelum ini juga berpeluang jika mendapat restu Sulaiman.

“Bagaimanapun antara nama lain termasuk exco Jawatankuasa Negeri NGO, Pembangunan Belia dan Sukan, Datuk Mohd Rafiq Naizamohideen dan beberapa tokoh korporat lain juga kemungkinan berada dalam senarai berkenaan.

“Apapun, keputusan akhir terletak kepada KM. Jika KM sendiri mengemudi persatuan berkenaan adalah lebih baik untuk kemajuan bola sepak Melaka,” katanya.

Sementara itu, Yusoff dan Saiful ketika diminta mengulas berkaitan isu berkenaan hanya mahu bertenang dan menyerahkan kepada KM membuat keputusan.

Sebelum ini, Setiausaha Agung MUSA, Farhan Ibrahim berkata, mengikut perlembagaan selepas KM baharu yang mengangkat sumpah, maka persatuan akan mengadakan kongres tahunan untuk menabalkan presiden yang baharu.

Menurutnya, ia juga turut membabitkan pemilihan semua ahli jawatankuasa eksekutif yang baharu memandangkan tahun ini adalah tahun pemilihan bagi MUSA.

Disiarkan pada: March 17, 2020 @ 9:22pm
d